Ribut Cristobal hampiri Teluk AS

NEW ORLEANS, 7 JUN – Ribut Tropika Cristobal meneruskan perjalanannya ke Pantai Teluk Amerika Syarikat (AS) pada awal hari ini, mencetuskan puting beliung di Florida dan membawa hujan lebat yang telah pun mengakibatkan banjir dan runtuhan tanah di Mexico dan Amerika Tengah.

Selepas menjadi lemah kepada tekanan rendah tropika sementara bergerak ke darat di pantai Teluk Mexico, Cristobal menuju kembali ke selatan Teluk Mexico dari Semenanjung Yucatan pada Jumaat dan meningkat kekuatan kepada ribut tropika. Ahli kaji cuaca berkata ia akan tiba di negara AS lewat hari ini tetapi tidak dijangka berkembang menjadi hurikan.

Hujan akibat ribut sedang tersebar di sebahagian kawasan utara Pantai Teluk awal hari ini, dan keadaan dijangka bertambah buruk, kata Pusat Hurikan Nasional di Miami. Angin yang dibawa oleh Cristobal kekal pada 85 ksj dan ia sedang bergerak ke utara pada 19 ksj, berpusat pada 280 kilometer selatan-barat daya dari muara Sungai Mississippi.

Pusat Hurikan Nasional berkata ribut dijangka bertambah kuat secara beransur-ansur sehingga mendarat pada malam ini di Pantai Teluk AS.

Pusat Hurikan berkata ribut mungkin membawa hujan lebat dari Texas Timur ke Florida pada hujung minggu ini dan awal minggu depan. Amaran ribut tropika disiarkan untuk utara pantai Teluk Mexico dari Bandar Pantai, Louisiana, ke sempadan Alabama-Florida. Amaran banjir dikeluarkan di Louisiana dan Mississippi, dengan banjir sehingga 5 kaki dijangkakan di sesetengah tempat. – AP

Kru dari Pihak Berkuasa Perlindungan Banjir Louisiana menutup pintu banjir Bayou Road di kawasan St Bernard, La pada 6 Jun 2020 sebelum Ribut Tropika Cristobal. – AP