Ribut debu, hujan batu badai Australia

SYDNEY, 20 JAN – Ribut petir dan hujan ais batu membadai sebahagian pantai barat Australia hari ini selepas ribut debu yang membawa bencana melanda seluruh kawasan kemarau, ketika corak iklim ekstrem bertembung dengan kebakaran hutan di negara itu.

Australia sejak Oktober mengalami musim kebakaran hutan yang tidak pernah berlaku dahulu yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Sebahagian besar negara itu telah terbakar, ratusan juta haiwan mati dengan lebih 2,000 buah rumah musnah manakala 29 jiwa terkorban.

Hari ini Canberra telah dilanda ribut hujan batu dengan beberapa rakaman menunjukkan dahan-dahan tercabut dari pokok.

Perkhidmatan kecemasan telah memberi amaran kepada orang ramai untuk ‘memindahkan dan melindungi kereta mereka dan menjauhi pokok serta tiang-tiang elektrik’.

Gambar bertarikh 19 Januari 2020 menunjukkan gumpalan debu melanda kawasan Dubbo, Australia, 400km barat Sydney. – AP

Biro meteorologi turut memberitahu penduduk di tenggara New South Wales, termasuk Sydney untuk bersedia bagi ribut yang bakal melanda.

“Ribut petir dijangka akan menyebabkan kemusnahan, angin kencang, hujan batu besar dan hujan lebat yang mungkin membawa kepada banjir kilat di kawasan amaran dalam tempoh beberapa jam,” kata biro.

Dua orang yang berkunjung ke destinasi pelancongan popular Blue Mountains telah dibawa ke hospital apabila seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dipanah petir dan lelaki berusia 24 tahun mengalami kecederaan semasa bersandar ke rel besi berhampiran.

“Mangsa-mangsa ini sangat-sangat bertuah kerana masih lagi hidup,” kata pengurus bertugas Ambulance New South Wales, Greg Marshall dalam satu kenyataan.

Mereka masih dirawat di hospital dalam keadaan yang stabil.

Imej-imej dramatik yang diambil pada hujung minggu dari barat New South Wales menunjukkan debu gergasi bergulung-gulung membadai bandar berkenaan.

Para penduduk tempatan melaporkan telah diselubungi kegelapan pada waktu tengah hari.

“Kami yang sudah biasa dengan ritual tersebut bergegas membawa masuk pakaian, menutup penyaman udara, tingkap dan pintu sebelum ribut debu besar membadai,” kata Ashleigh Hull dari bandar Dubbo memberitahu AFP.

Namun bencana itu ‘lebih hebat’ daripada ribut debu biasa yang melanda, tambahnya. – AFP