Ribut dennis badai Britain

LONDON, 16 FEB – Ribut Dennis melanda seluruh Britain hari ini dengan tentera dikerah untuk membantu mengatasi banjir dan angin kencang, dan pegawai mengingatkan keadaan mungkin ‘mengancam nyawa’ di Wales Selatan.

Agensi cuaca kerajaan mengeluarkan amaran merah untuk kawasan itu, berkata timbulnya risiko ‘kesan besar akibat banjir’ yang termasuk ‘ancaman nyawa daripada aliran air yang deras, banjir teruk ke atas harta serta penutupan jalan raya.’

Hampir 200 amaran banjir telah dikeluarkan hari ini, menjangkau dari River Tweed di Scotland hingga Cornwall di barat daya England.

Angin dengan kelajuan lebih 90 batu sejam dicatat di Aberdaron, selatan Wales.

Kementerian Pertahanan sebelumnya telah menghantar tentera di West Yorkhire, utara England, yang terjejas teruk akibat banjir yang berpunca daripada Ribut Ciara pada hujung minggu lalu.

“Angkatan bersenjata kami sentiasa bersedia untuk menyokong pihak berkuasa dan komuniti tempatan pada bila-bila mereka memerlukannya,” kata menteri pertahanan Ben Wallace.

Syarikat penerbangan British Airways dan easyJet mengesahkan mereka telah membatalkan penerbangan, sementara dua mayat dikeluarkan dari laut bergelora di luar pantai selatan England tatkala ribut melanda.

Salah seorang lelaki diandaikan menjadi subjek pencarian yang dilancarkan apabila sebuah kapal tangki LPG melaporkan salah seorang kru mereka hilang.

Beliau kali terakhir dilihat beberapa jam sebelum itu. – AFP

Banjir menenggelamkan rumah selepas tebing Sungai Taff melimpah di Taffs Wells, utara Cardiff, selatan Wales kelmarin. – AFP