Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Ribut kuat badai pantai Alaska

    LOS ANGELES, 18 SEPT – Ribut kuat membadai barat Alaska, mengakibatkan banjir dan ombak besar yang meranapkan beberapa rumah, kata peramal cuaca Amerika Syarikat (AS) semalam.

    Saki-baki Taufan Pasifik Merbok telah mencetuskan salah satu ribut paling kuat yang melanda rantau tersebut pada tahun ini dalam beberapa dekad dan dijangka membadai pantai pada hujung minggu.

    Keadaan berbahaya termasuk ‘ombak tinggi, hurikan, angin kencang, hakisan pantai dan hujan lebat,’ kata Perkhidmatan Cuaca Negara di Twitter.

    “Banjir akan bertambah buruk,” kata pejabat perkhidmatan Fairbanks di Alaska.

    Tiada laporan kecederaan atau kematian, kata Gabenor Mike Dunleavy ketika beliau mengisytiharkan bencana dalam kalangan komuniti yang terkesan.

    “Ia adalah ribut paling kuat pada awal musim luruh dalam tempoh 50 tahun lalu di Laut Bering,” beritahu Rick Thoman, pakar iklim di Universiti Alaska-Fairbanks, kepada AFP menerusi e-mel.

    Di kampung di kawasan pantai Golovin, pejabat Fairbanks berkata bahawa air membanjiri sekolah, rumah dan struktur, dan sekurang-kurangnya beberapa rumah kelihatan terapung, hanyut dibawa air banjir. Angin dengan kelajuan 145 kilometer sejam telah dicatat, kata NWS.

    Sementara pejabat NWS di Anchorage melaporkan ombak setinggi 41 kaki.

    “Terdapat kerosakan besar akibat banjir dan angin kencang di beberapa komuniti di barat Alaska. Ini termasuk kerosakan rumah dan bangunan lain serta banjir di lapangan terbang,” kata Thoman. – AFP

    Sebuah rumah kelihatan terapung di Sungai Snake berdekatan Nome, Alaska, pada 17 September. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...