Ribut melanda kem pelarian Syria

ARSAL, Lubnan, 9 Jan – Hujan lebat dan salji melanda beberapa penempatan tidak rasmi bagi pelarian penduduk Syria di Lubnan dan beribu-ribu orang lagi memerlukan bantuan kecemasan, menurut para pekerja bantuan semalam.

Yang paling teruk terjejas adalah para pelarian yang tinggal di Arsal, kawasan sempadan pergunungan di utara Lubnan yang mana bumbung-bumbung rumah asas runtuh akibat bebanan berat salji.

“Lihatlah cuaca ini, kami terputus hubungan daripada segalanya, khemah telah runtuh, kami berserah kepada Tuhan,” seorang pelarian di sana memberitahu AFP ketika emping salji turun ke pakaian hitamnya.

“Ribut melanda semalam dan lebih satu meter salji yang turun,” menurut seorang lagi pelarian.

“Tidak ada makanan, tidak ada roti dan jalan raya ditutup sejak semalam.”

Timbunan salji kelihatan memenuhi kawasan kem pelarian tidak rasmi di Iaat, negeri Beeka ketika cuaca buruk melanda kawasan itu pada 8 Januari 2018. – AFP

Turunan salji bukan sesuatu yang luar biasa di kawasan ini kerana beberapa hari lalu Lubnan dilanda cuaca teruk yang berpanjangan dan ribut digelar ‘Norma’.

Sekolah-sekolah ditutup di seluruh negara, jalan raya tidak dapat dilalui kerana banjir dan lopak-lopak air terbentuk di jalan utama di Beirut, mengakibatkan keadaan kelam kabut pada lalu lintas di seluruh bandar itu.

Lubnan menerima kira-kira 1.5 juta pelarian dari Syria, ramai yang tinggal di penempatan tidak rasmi yang hanya mempunyai sedikit atau tidak ada infrastruktur.

Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata langkah kecemasan telah diatur untuk menyelamatkan keluarga-keluarga yang terkandas dan membantu mereka yang terjejas akibat daripada cuaca sejuk itu.

“Di seluruh Lubnan, kira-kira 66 penempatan tidak rasmi didapati terjejas teruk akibat banjir, 15 darinya dilanda banjir sepenuhnya atau runtuh,” menurut jurucakap wanita UNHCR, Lisa Abou Khaled.

“Kira-kira 300 orang ditempatkan semula setakat ini di utara dan rantau timur Bekaa,” tambahnya lagi. – AFP