WELLINTGTON, New Zealand, 13 April – Ratusan penduduk di New Zealand telah dipindahkan dari kawasan pantai hari ini ketika ribut besar kedua yang melanda kira-kira seminggu lagi membuat pendaratan berhampiran bandar Whakatane North Island.
Namun penduduk di bandar terbesar negara itu, Auckland, menarik nafas lega ketika sisa-sisa Taufan Cook bergerak melintasi mereka menuju ke timur.
Pihak berkuasa pada awalnya bimbang ribut itu akan membadai bandar tersebut dan mengakibatkan masalah besar.
“Kelihatannya Auckland bernasib baik….terselamat,” kata Datuk Bandar Auckland, Phil Goff dalam Twitternya.
Pihak berkuasa pertahanan awam berkata kira-kira 250 penduduk yang tinggal berdekatan bandar pantai Ohope telah dimaklumkan awal untuk berpindah, sementara yang lain sudah pun berpindah.

Pihak berkuasa pada awalnya menasihatkan penduduk yang menetap di kawasan rendah di Semanjung Coromandel untuk berpindah ke tempat lebih tinggi, ketika ombak besar dijangka akan membadai pantai.
Air New Zealand menangguhkan penerbangan dari Lapangan Terbang Tauranga dan pesawat lain sekitar negara itu yang juga ditangguhkan atau dibatalkan.
Pihak tentera berkata, seramai 500 askar sudah bersiap sedia untuk menangani masalah tersebut. Ribut juga telah mengakibatkan gangguan kepada bekalan elektrik kepada ratusan buah rumah di Whakatane dan Tauranga.
Sarah Stuart-Black, pengarah Kementerian Pertahanan Awam dan Pengurusan Kecemasan, berkata ribut itu ‘sangat berbahaya’ dan amaran cuaca buruk telah dimaklumkan di seluruh negara itu.
“Kami sedang memantau dengan teliti, kami belum lagi menghadapinya,” katanya pada malam ini.
Ribut itu dijangka akan bergerak ke selatan malam ini dan tiba di bandar, Wellington, awal esok (Jumaat) mencetuskan banyak masalah di sepanjang laluannya namun juga akan mereda sedikit demi sedikit. – AFP