KARACHI, 9 JAN – Angka kematian akibat salji tebal di stesen bukit terkenal berhampiran ibu negara Pakistan, Islamabad meningkat kepada 23 orang, ketika pekerja penyelamat dan tentera bertungkus-lumus semalaman untuk membersihkan salji di jalan raya, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai hari ini.
Salji lebat sejak tiga hari lalu menimbus Murree, pekan tanah tinggi yang terletak kira-kira 65 kilometer (40 batu) dari Islamabad, dan kawasan lembahnya diliputi salji tebal, menyekat jalan, memutuskan bekalan elektrik, dan menimbulkan panik kepada pelancong yang bergegas mencari perlindungan.
Beribu-ribu kenderaan yang penuh dengan pelancong terperangkap dalam ribut salji di kawasan lembah dan kawasan berdekatan sejak tiga hari lalu.
Sekurang-kurangnya 23 orang, termasuk lapan daripada sebuah keluarga, meninggal dunia akibat kesejukan dan kekurangan oksigen apabila beribu-ribu kenderaan terperangkap di laluan berbeza di sekitar Murree sejak dua hari lalu, memaksa kerajaan menggerakkan bantuan tentera.
Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara Mejar Jeneral Akhtar Nawaz, berkata penyelamat masih berusaha untuk membersihkan jalan utama, lokasi kebanyakan kematian berlaku.
Menurutnya semua pelancong yang terkandas telah dipindahkan ke hotel dan kem tentera.
Bagaimanapun, tambahnya, ‘banyak’ kenderaan terbiar masih terperangkap di bawah salji, menyukarkan pasukan penyelamat membersihkan jalan utama yang menghubungkan lembah itu dengan seluruh negara. – Bernama