Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut salji terburuk Amerika Syarikat 1996

    PERISTIWA ribut salji yang melanda beberapa buah negeri di bahagian timur laut Amerika Syarikat (AS) pada minggu pertama Januari tahun 1996 telah mencatat sejarah sebagai kejadian ribut salji terburuk pernah melanda di negara tersebut.

    Dalam kejadian itu, lebih 150 orang dilaporkan terbunuh akibat beberapa faktor seperti kemalangan, kesejukan melampau dan tertimbus di bawah salji tebal.

    Angka kematian juga bertambah disebabkan oleh banjir besar yang berlaku akibat pencairan salji yang turut disertai dengan hujan lebat hanya dalam masa seminggu selepas dibadai ribut salji.

    Mengimbas kembali peristiwa ribut salji yang berlaku dari 6 hingga 8 Januari pada tahun 1996 itu, ribut tersebut telah dikesan bergerak dari Teluk Mexico dengan kelajuan mencecah 64 kilometer sejam yang disifatkan berada pada tahap ekstrem.

    Terjejas

    Antara negeri yang terlibat dalam kejadian ribut salji itu ialah Virginia, Maryland, Pennsylvania, New Jersey dan New York sehingga mengakibatkan beratus-ratus buah kediaman rosak teruk dibadai ribut salji.

    Kejadian bencana alam yang berlaku itu telah mengakibatkan kerugian keseluruhan berjumlah AS$39 bilion.

    Segala aktiviti penduduk bandar terhenti ekoran keadaan jalan raya yang tertimbus dengan salji setebal lebih tiga meter selain bekalan elektrik yang terputus.

    “Kita agak lewat mengesan kehadiran ribut salji ini dan tidak sempat untuk membuat sebarang persediaan,” ujar Steve Wistar, seorang ahli Meteorologi AS.

    Salah satu kawasan yang terjejas ialah Philadelphia yang terletak di Pennsylvania apabila bandar raya tersebut yang dilaporkan jarang menerima salji tebal telah diselaputi salji setinggi lebih satu meter.

    Negeri Virginia yang terletak di bahagian tenggara AS juga dilaporkan lumpuh dalam kejadian ribut salji itu selepas ditenggelami salji setebal 91 sentimeter.

    Beberapa buah lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Nasional Reagan dan Lapangan Terbang Dulles juga terpaksa ditutup apabila dilanda salji setebal 67 sentimeter sekali gus memaksa beratus-ratus jadual penerbangan ditunda.

    Menurut salah seorang mangsa yang terlibat, Tommy O’Donnel, 45, dari Virginia sehingga ke hari ini dia tidak dapat melupakan kejadian ribut salji yang melanda itu lebih-lebih lagi kerana ia berlaku ketika isterinya sedang sarat hamil dan dijangka bersalin pada bila-bila masa sahaja.

    “Salji tebal yang meliputi jalan mencetuskan kebimbangan memandangkan keadaan isteri yang sedang sarat mengandung,” ujar O’Donnel.

    Banjir besar

    Bimbang sesuatu perkara buruk boleh berlaku pada hari tersebut, lelaki itu akhirnya mengambil keputusan meredah salji tebal dengan memandu kereta menuju ke hospital walaupun dalam keadaan cuaca buruk.

    Pada ketika itu, penduduk di negeri yang terjejas cuma berharap pada laporan cuaca menerusi siaran televisyen bagi mengetahui perkembangan ribut salji tersebut.

    Seminggu selepas di badai ribut salji, kawasan-kawasan yang diselaputi salji tebal itu berdepan pula dengan kejadian banjir besar selepas berlaku peningkatan suhu sehingga mengakibatkan terjadinya pencairan salji.

    Hanya dalam masa beberapa jam, salji tebal yang menyelubungi kebanyakan kawasan terjejas telah cair dengan cepat akibat pergerakan udara panas sekali gus mengakibatkan berlakunya banjir besar secara tiba-tiba.

    Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pencairan salji itu turut disertai dengan hujan lebat yang akhirnya menenggelamkan bandar-bandar yang telah sedia lumpuh akibat di badai ribut salji dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

    Kejadian bencana alam yang berlaku itu telah mengakibatkan kerugian keseluruhan berjumlah AS$39 bilion akibat berlaku banyak kerosakan infrastruktur seperti bangunan dan jalan raya.

    Lebih 150 orang penduduk di beberapa buah negeri di timur laut AS terbunuh dalam kejadian ribut salji tahap ekstrem yang turut disertai dengan banjir besar. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda