MANAMA, 10 Mei – Bos-bos FIFA telah memberi cadangan bahawa untuk menggantikan hakim etika yang membantu menjatuhkan Sepp Blatter dan Michel Platini, mencetuskan tindak balas bahawa penyingkirannya adalah ‘berunsurkan politik’.
Perjumpaan selama lima jam di antara Majlis FIFA di Bahrain, dipengerusikan oleh presiden Gianni Infantino, telah membuat keputusan untuk menggantikan Hans-Joachim Eckert dan penyiasat etikanya, Cornel Borbely.
Sebagai tindak balas, Eckert dan Borbely yang meradang berkata dalam satu kenyataan bahawa penyingkiran mereka bermakna ‘berakhirnya usaha reformasi FIFA’.
Kedua-duanya dijangka tiba di Bahrain hari ini dan dijangka memberikan sidang media yang pasti panas.

Majlis FIFA mencadangkan Vassilios Skouris, bekas presiden Mahkamah Keadilan Eropah, untuk menggantikan Eckert.
Manakala, penyiasat etika Borbely akan digantikan oleh Maria Claudia Rojas dari Colombia.
Majlis juga mencadangkan Fiti Sunia berkhidmat sebagai timbalan kepada Skouris, sementara Bruno de Vita dan Martin Ngoga akan bekerja dengan Rojas.
Keputusan itu dijangka disahkan oleh FIFA pada Kongres tahunannya, yang bersidang di Bahrain Khamis ini. – AFP