Ribut tropika ancam hari terakhir Olimpik

TOKYO, 6 OGOS – Ribut tropika diramal melanda Tokyo pada hari terakhir temasya Sukan Olimpik, namun pihak penganjur setakat ini masih belum membuat pengumuman mengenai sebarang perubahan kejohanan.

Agensi cuaca Jepun memberi amaran angin kencang, ombak tinggi dan risiko tanah runtuh dan banjir di sepanjang kawasan persisiran pantai timur dari petang Sabtu hingga Ahad apabila ribut tropika Mirinae dijangka melalui kawasan ibu kota itu.

Acara penutup tirai Olimpik dijadual berlangsung Ahad ini, dengan acara menjanjikan pingat termasuk polo air dan gimnastik berirama berlangsung dalam venue tertutup di bandar itu pada hari berkenaan.

Perlumbaan berbasikal trek juga dijadual berlangsung di Shizuoka yang terletak di barat daya Tokyo manakala maraton lelaki bermula awal pagi Ahad di bandar Sapporo.

“Kami dengan tegas dan tenang dalam memberikan perhatian terhadap laluan ribut itu,” kata jurucakap jawatankuasa penganjur Tokyo 2020, Masa Takaya kepada wartawan.

“Ia menjadi keutamaan buat kami memberitahu secara objektifnya, supaya kami dapat menghindari daripada reaksi berlebihan,” katanya.

Satu ribut berlainan melanda Jepun minggu lalu, yang turut memaksa penganjur temasya mengubah jadual beberapa pertandingan seperti mendayung dan memanah, meskipun mereka mengadakan pertandingan luncur ombak lebih awal bagi menggunakan sepenuhnya kekuatan ombak.

Pada Jumaat, Mirinae berada sekitar 100 kilometer (km) di utara pulau Minamidaito yang berhampiran kepulauan selatan Okinawa.

Ia bergerak ke timur dengan kelajuan angin hingga 108kmsj. Ribut tropika lain melanda selat Taiwan, bergerak menuju ke Jepun. – AFP

Persembahan bunga api yang semasa upacara pembukaan di Stadium Olimpik Tokyo 2020, pada 23 Julai lalu, di Tokyo, Jepun. – AP