MANILA, 15 SEPT – Ribut tropika Bebinca menyebabkan enam kematian manakala dua lagi masih hilang di Filipina, menurut kerajaan Filipina hari ini, lapor Xinhua.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) melaporkan empat kematian berlaku di Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao dan dua lagi di Semenanjung Zamboanga, selatan Filipina.
Agensi itu turut memaklumkan bahawa seorang mangsa hilang di Semenanjung Zamboanga manakala seorang lagi di wilayah Visayas Barat, tengah Filipina.
NDRRMC juga melaporkan bahawa Bebinca, ribut tropika keenam yang melanda Filipina sejak Januari tahun ini menjejaskan lebih 200,000 penduduk.
Hampir 14,000 orang yang hilang tempat tinggal kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara yang dikendalikan kerajaan. Ribut Bebinca turut merosakkan infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan dan rumah. – Bernama