Ribut tropika Cristobal landa Louisiana

WASHINGTON, 8 JUN – Ribut tropika Cristobal melanda tenggara Louisiana semalam, membawa bersama angin kencang, hujan lebat dan ancaman kemusnahan harta benda.

Pusat Taufan Nasional (NHS) Amerika Syarikat (AS) melaporkan, ribut itu mula membadai bermula jam 10 malam waktu tempatan, dengan kelajuan angin maksimum 80 kilometer sejam.

Malah, sebuah pulau di luar pesisir Mississippi merekodkan tiupan angin sehingga 102km/j, sekali gus mendorong Presiden AS Donald Trump, menandatangani deklarasi darurat untuk Louisiana.

NHs turut mengeluarkan amaran ribut bermula dari kawasan kuala Sungai Mississippi hingga Ocean Springs.

Ia turut mengeluarkan amaran ribut tropika kepada kawasan Florida Panhandle, khususnya mengenai hujan lebat dan angin kencang.

Kekuatan ribut bagaimanapun dijangka berkurangan sebaik ia bergerak menuju Arkansas dan Missouri hari ini dan esok.

Pakar kaji cuaca kali ini meramalkan musim taufan Atlantik yang lebih kerap akan berlaku berbanding biasa.

Pembentukan Cristobal awal minggu ini adalah petanda bahawa musim taufan sudah bermula, dengan kehadiran ribut ketiga itu, kata pakar kaji cuaca AS. – AFP

Banjir melanda kawasan US 90 di Long Beach, Mississippi di Pantai Teluk Mississippi pada 7 Jun 2020. – AP