Friday, February 14, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut tropika Dikeledi badai Mozambique

    JOHANNESBURG, 14 JAN – Ribut tropika Dikeledi melanda utara Mozambique kelmarin dan membunuh tiga orang di Madagascar serta mencetuskan banjir di wilayah Perancis, Mayotte.

    Taufan itu bertambah kuat ketika sampai ke kawasan pantai Nampula di Mozambique, membawa angin yang kencang dan hujan lebat, menurut agensi cuaca Perancis, Meteo-France.

    Kira-kira 120 orang terbunuh di utara Mozambique pada Disember apabila Taufan Chido melanda, selepas meragut kira-kira 39 nyawa di Mayotte, di mana ia mencederakan lebih 5,600 orang dan menyebabkan kerosakan besar.

    Institut Meteorologi Nasional Mozambique (INAM) mengeluarkan amaran banjir untuk Dikeledi dengan ramalan hujan sehingga 200 milimeter dalam tempoh 24 jam dan tiupan angin kencang sehingga 180 kilometer sejam.

    Presiden Filipe Nyusi menggesa penduduk di laluan taufan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mencari perlindungan dan menyimpan makanan serta air.

    “Segera pergi ke tempat perlindungan yang selamat dan tinggal di sana sehingga pihak berkuasa memberikan arahan lanjut,” katanya semasa pembukaan parlimen di ibu kota Maputo. Kira-kira tiga orang terbunuh di Madagascar apabila Dikeledi melanda negara pulau itu pada hujung minggu, menurut Pejabat Nasional untuk Pengurusan Risiko dan Bencana pada Ahad.

    Taufan itu melanda kawasan utara Madagascar pada Sabtu sebagai siklon, membawa angin kencang dan hujan lebat. Meteo-France memberi amaran bahawa Madagascar mungkin dibadai sekali lagi di sepanjang pantai barat daya negara itu apabila taufan menuju ke selatan pada hujung minggu.

    Taufan biasanya berkembang di Lautan Hindi dari November hingga Mac. Tahun ini, suhu air permukaan di kawasan itu mencecah 30 darjah Celsius, yang memberi lebih banyak kekuatan kepada taufan, fenomena pemanasan global yang juga diperhatikan di Atlantik Utara dan Pasifik. – AFP

    Penduduk memerhati serpihan di dasar sungai dicetuskan oleh ribut tropika Dikeledi, di kampung Chirongui, di wilayah Lautan Hindi Perancis Mayotte pada 13 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda