Ribut tropika Henri badai AS

NEW YORK, 23 OGOS – Ribut tropika Henri membadai Rhode Island di pantai timur Amerika Syarikat (AS) bersama hujan lebat semalam, menyebabkan pokok tumbang serta bekalan elektrik terputus sehingga menjejaskan ribuan penduduk.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, ribut terbabit melanda kawasan berhampiran bandar Westerly pada jam 12:15 tengah hari.

Henri adalah ribut tropika yang jarang membadai pesisir timur laut AS, dan berlaku susulan permukaan laut yang panas akibat perubahan iklim.

Jutaan penduduk di New England dan Long Island sudah diberi peringatan supaya bersiap sedia menghadapi angin kencang, bekalan elektrik terputus selama berhari-hari dan banjir hingga mencecah lima kaki.

Bagaimanapun menjelang tengah hari, NHC menarik balik semua amaran berkaitan, manakala laporan awal daripada penduduk memberitahu ribut itu tidak seburuk dijangkakan.

Di Newark, New Jersey, anggota perkhidmatan kecemasan berjaya menyelamatkan 86 mangsa, termasuk 16 kanak-kanak, daripada kenderaan yang ditenggelami banjir kilat. – AFP

Pokok tumbang menyebabkan bekalan elektrik terputus semasa ribut tropika Henri membadai Rhode Island pada 22 Ogos 2021. – AFP