Ribut Vayu: Ratusan ribu penduduk dipindahkan

AHMEDABAD, INDIA, 12 JUN – Ribut siklon yang sedang menuju ke arah barat India dijangka semakin kuat selepas angin kencang sehingga 170 kilometer sejam (105 msj) dijangkakan akan mendarat awal pagi esok, kata peramal.

Pihak berkuasa di negeri Gujarat di mana ribut Vayu melanda, yang kini dikategorikan sebagai ribut paling teruk, sedang berusaha untuk memindahkan hampir 300,000 orang yang tinggal di kawasan pesisir.

“Kebanyakkan orang yang tinggal berhampiran pantai tidak bersedia untuk berpindah dan meninggalkan rumah-rumah mereka.

Pegawai kami cuba meyakinkan mereka,” kata pegawai tempatan Ajay Prakash kepada AFP.

“Mudah-mudahan kami akan dapat memindahkan mereka dalam waktu terdekat ini,” kata pegawai dari Daerah Gir-Somnath di mana Vayu dijangka mendarat pada pukul 5:30 pagi waktu tempatan esok.

Seorang pemerhati ketika membuat pemantauan terhadap Ribut Vayu di pusat pemantauan siklon di pejabat Jabatan Meteorologi India di New Delhi, India, kelmarin. Ribut siklon yang sedang menuju ke arah barat India dijangka semakin kuat selepas angin kencang sehingga 170 kilometer sejam (105 msj) dijangkakan akan mendarat awal pagi esok, kata peramal.- AFP

Ketua Menteri Gujarat Vijay Rupani memberitahu pemberita bahawa 130,000 orang telah berpindah ke lokasi yang lebih selamat pada petang hari ini.

Jayata Sarkar dari Jabatan Meteorologi India (IMD) berkata angin di antara 145 dan 155 km dijangka akan berlaku dengan angin kencang sehingga 170 kmsj, bersamaan dengan kategori satu atau dua taufan.

IMD juga meramalkan ombak bergelora 3.5 hingga 5.3 meter (11.5-17.4 kaki) dalam tempoh dua hari akan datang, di mana para nelayan disarankan untuk tidak turun ke laut.

Kesemua tentera udara, pengawal pantai dan tentera laut telah diberi amaran, dengan 36 pasukan dari Pasukan Tindak Balas Bencana Nasional (NDRF) telah ditempatkan di kawasan pantai.

Pantai Gujarat menjadi rumah kepada dua pelabuhan utama, Deendayal dan Adani di Teluk Kutch, serta penapisan minyak Jamnagar, yang terbesar di dunia.

Kejadian ribut agak jarang berlaku di Gujarat. Kejadian yang paling buruk berlaku pada tahun 1998 apabila lebih daripada 4,000 orang maut.

Vayu adalah siklon kedua yang melanda India tahun ini. – AFP