Pelakon Riena Diana melahirkan rasa teruja apabila menerima seorang lagi adik pada usia 25 tahun.
Riena atau nama sebenarnya Qamariana Diana Zulreal berkata, ibu tirinya telah selamat melahirkan anak damit perempuan Selasa lalu.
Bagaimanapun, Riena memberitahu ibunya masih belum berpeluang melihat anaknya gara-gara disahkan positif COVID.
“Alhamdulillah, ibu tiri saya selamat melahirkan anak perempuan dua hari lalu. Tapi dia tidak dapat lagi tengok anak tersebut sebab disahkan positif COVID.
“Jadi, bapa saya minta tolong untuk ambil anak kecil itu di hospital untuk bawa pulang ke rumah. Buat masa sekarang, bapa saya jaga adik saya dengan pertolongan ibu mentuanya.
“Saya pun ada tolong juga beli barang-barang keperluan kanak-kanak kecil,” kata Riena ketika dihubungi mStar hari ini. Terdahulu, pelakon drama Kampung People ini berkongsi video ketika dalam perjalanan mengambil adiknya yang diberi nama Fateema di hospital.
Dalam pada itu, Riena yang juga penyampai radio Hot FM ini mengakui keterujaan itu seperti dia ingin mengambil anaknya sendiri.
“Memang sangat teruja, macam ingin anak sendiri pula. Bila ada adik ini, sumpah buat saya sedar yang saya kena ada anak sendiri selepas ini.
“Mungkin sebab sebelum ini, saya hidup berdua dengan adik lelaki yang jarak usia hanya tiga tahun.” – Agensi