KUALA LUMPUR, 21 SEPT – Untuk menurunkan berat badan hampir 10 kilogram dalam sekelip mata mungkin sesuatu perkara yang mustahil bagi kebanyakan orang, tetapi tidak bagi para atlet khusunya jaguh Muay Thai negara, Mohammad Rifdean Masdor.
Atlet berusia 20 tahun itu mendedahkan beliau berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 9 kilogram hanya dalam tempoh dua minggu sebelum memenangi pingat emas kategori 48 kilogram lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, hari ini.
Berkongsi rahsia kejayaan menghilangkan berat sebanyak itu, Mohammad Rifdean berkata selain tidur yang cukup dan menjaga pengambilan makanan, beliau juga berjoging sejauh 20 kilometer sehari.
“Tiada masalah (turunkan berat) daripada 57 kilogram kepada 48 kilogram, kita kena rajin, pagi petang siang malam kadang-kadang sampai tiga kali sehari saya joging.
“Sebelah pagi buat 10 kilometer, petang 5 kilometer dan rehat sekejap sebelum sambung lagi 5 kilometer. Sebelum tidur pun joging dan semuanya dibuat dalam bulan ini sebelum Sukma,” kata atlet kelahiran Kuching, Sarawak itu kepada Bernama selepas majlis penyampaian pingat di sini hari ini.
Pada aksi final kategori 48 kilogram lelaki yang berlangsung di South City Plaza di Seri Kembangan di sini, Mohammad Rifdean atlet Perak menewaskan atlet Pulau Pinang Mohd Shahdam Abdul Aziz yang terpaksa berpuas hati merangkul perak. – Bernama