Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rina 2 menang anugerah AIFFA

    KUCHING, Sarawak, 28 April – Rina 2 menjadi kebanggaan Negara Brunei Darussalam dan para pencinta seni perfileman apabila berjaya merangkul Anugerah ASEAN Spirit pada malam gala edisi keempat Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2019) yang diadakan di Hotel Pullman Kuching, malam tadi.

    Anugerah untuk filem keluaran bersama Brunei dan Laos berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Belia Sarawak, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah diiringi oleh Pengarah Festival AIFFA, Livan Tajang.

    Sementara itu, anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat AIFFA 2019 telah dianugerahkan kepada pelakon Indonesia, Slamet Rahardjo manakala tetamu istimewa AIFFA, Steven Seagal pula telah dianugerahkan Anugerah Luminary AIFFA 2019 oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari bin Tun Abang Haji Openg.

    Selain itu, tiga filem yang menerima Anugerah Juri Khas ialah Hari Minggu yang Keempat dari Brunei, Bad Genius dari Thailand dan Shwe Kyar (Golden Lotus) dari Myanmar.

    Dalam pada itu, pelakon Brunei, Awang Syukri Mahari yang berpasangan dengan Miss Universe Singapura 2016, Joey Pink Lai telah menyampaikan dua anugerah pertama pada malam gala semalam.

    Penyampaian Anugerah ASEAN Spirit untuk filem Rina 2 di Hotel Pullman Kuching, kelmarin.

    Lebih 100 filem dari 10 negara anggota ASEAN telah bertanding dalam sembilan kategori di mana Rina 2 telah dicalonkan dalam Kategori Penyiaran Filem Terbaik dan pelakon Laos, Khouan Souliyabapha pula telah dicalonkan dalam Kategori Pelakon Pembantu Terbaik dan pelakon Brunei, Awang Shafiee Mostar dari Hari Minggu yang Keempat telah dicalonkan untuk Kategori Pelakon Terbaik.

    Pada edisi pertama AIFFA dalam tahun 2013, filem Ada Apa Dengan Rina telah menerima Anugerah Juri Khas sekali gus meletakkan Brunei pada peta dunia perfileman.

    Pada AIFFA esisi kedua dalam tahun 2015, pelakon Brunei, Dayang Nadiah Wahid dari filem Yasmine telah berjaya memena-ngi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik.

    “Kami berterima kasih kepada juri AIFFA 2019 kerana memberikan pengiktirafan kepada Rina 2, sebuah filem ringkas dengan hasrat yang besar untuk mempromosikan persahabatan dan kerjasama ASEAN melalui filem,” kata pengarah Rina 2, Awang Harlif Haji Mohamad.

    “Rina 2 telah ditayangkan di seluruh Brunei pada Julai 2017 dan di Laos pada 2018 sebelum dijemput untuk ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa.

    “Anugerah ASEAN Spirit benar-benar melonjakkan semangat pasukan Regalblue Production untuk meneroka dan menghasilkan lebih banyak filem bagi mempromosikan Brunei dan negara-negara ASEAN,” tambah Awang Harlif lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda