Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 25 Ogos – Filem komedi tempatan RINA2 yang merupakan filem susulan dari filem Ada Apa Dengan Rina yang diterbitkan pada tahun 2013 kini sedang ditayangkan di beberapa pawagam tempatan termasuk permulaan tayangannya malam tadi di Plaza Sutera Biru (PSB Dualplex), di sini.
Tayangannya turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon-pelakon yang membintangi filem RINA2 iaitu Syukri Mahari, Tauffek Ilyas dan Haji Yahya Haji Beruddin serta beberapa pelakon dari Laos iaitu Khouannakhone, Souliyabapha, Chintana Soukkavongsa dan Phongsavanh Boulom yang berada di sana untuk bertemu dengan para peminat sebagai tanda penghargaan ke atas sokongan mereka kepada karya filem tempatan.
RINA2 yang mula ditayangkan pada 25 Julai dan dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof merupakan filem terbitan bersama Syarikat Regalblue Production dari Negara Brunei Darussalam dan Lao Art MediaCo.Ltd telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai dan peminat industri filem tanah air sehingga kini.
Pengarah filem tersebut, Awang Harif bin Haji Mohamad semasa ditemui berkata, filem RINA2 dijangka akan dilancarkan tayangannya di Laos tidak lama lagi.
“Biarpun pada masa ini banyak filem hebat sedang ditayangkan di tanah air, seperti filem dari Malaysia dan sebagainya, tetapi RINA2 tetap mendapat sambutan yang tidak kurang hangatnya dan kami sangat gembira kepada peminat-peminat yang menyokong filem-filem tempatan setakat ini,” katanya.
Awang Harif juga memberitahu, antara objektif penerbitan filem Ada Apa Dengan Rina dan RINA2 adalah untuk mewujudkan dan mengembangkan lagi suasana perfileman di Negara Brunei Darussalam selain merealisasikan hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan industri kreatif sebagai salah satu sumbangan kepada perkembangan ekonomi negara.
Penerbitan filem ini tambahnya lagi adalah untuk merealisasikan projek penerbitan filem kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dengan negara-negara ASEAN untuk sama-sama meneruskan perkembangan industri perfileman di negara masing-masing, mengongsikan peruntukan, berkumpul bakat-bakat seni dan sama-sama meluaskan lagi pemasarannya.
“Filem RINA2 ini juga diharapkan akan menjadi duta kebudayaan dalam mengenalkan Brunei dan Laos ke persada dunia,” ujarnya.