Rindu jemaah kini terubat

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Kerinduan para jemaah untuk menunaikan solat di masjid terubat selepas Fasa Peralihan yang bermula hari ini membenarkan solat fardu berjemaah dan sembahyang Fardu Jumaat di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara.

Pembukaan masjid telah bermula pada waktu sembahyang Fardu Subuh lagi dan dalam memastikan kehadiran orang ramai ke masjid-masjid, surau dan balai ibadat beberapa langkah keselamatan telah dibuat dan kawalan kemasukan dan notis peringatan telah dikongsikan dan dijelaskan kepada orang ramai sebelum ini.

Sepertimana yang telah dimaklumkan, orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan sembahyang Fardu Jumaat hendaklah membuat tempahan terlebih dahulu dan ia juga tertakluk kepada kuota atau kapasiti setiap masjid setelah dibuat penjarakan.

Tempahan yang dibukakan 17 November telah pun dipenuhi namun terdapat juga sebilangan masjid yang masih menerima tempahan di saat-saat akhir untuk menunaikan sembahyang Fardu Jumaat.

Sehubungan dengan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama menekankan dan menasihatkan kepada orang ramai yang berhasrat menunaikan sembahyang Fardu Jumaat minggu depan, hendaklah datang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

Jemaah yang hadir ke masjid untuk menunaikan sembahyang Fardu Jumaat selepas Fasa Peralihan bermula 19 November.
Anggota beruniform semasa melaksanakan tugas memeriksa BruHealth para jemaah.
Sebelum memasuki masjid, para jemaah dimestikan memeriksa suhu badan.

Demikian juga, orang ramai adalah diingatkan untuk mengambil perhatian terhadap perkara-perkara seperti masjid akan dibuka untuk sembahyang Fardu Jumaat bermula jam 11 pagi maka adalah disarankan supaya para jemaah akan dapat hadir lebih awal untuk mengelakkan barisan yang panjang kerana pemeriksaan BruHealth akan dijalankan bermula dari pagar masjid lagi.

Tambahan lagi, pagar-pagar masjid akan dibuka dengan bilangan yang terhad dalam satu atau dua pagar sahaja tertakluk kepada keadaan masjid untuk memudahkan kawalan.

Kawalan akan dibuat di pagar-pagar masuk oleh pasukan beruniform iaitu Polis dan anggota ABDB yang dibantu oleh petugas masjid yang terdiri daripada AJK takmir masjid, belia masjid dan sukarelawan belia. Adalah dinasihatkan kepada orang ramai untuk bersedia dengan telefon bimbit bagi mengimbas kod BruHealth, memeriksa suhu badan dan mematuhi SOP lainnya. Sebagai peringatan kepada orang awam, pintu pagar masjid akan ditutup sebaik sahaja khutbah kedua dibacakan sebelum iqamat.

Oleh sebab itu orang ramai dinasihatkan untuk datang lebih awal ke masjid kerana tempahan tidak menjanjikan orang ramai dapat masuk jika terlewat untuk hadir sehingga pagar ditutup.

Berikutan dengan hal itu adalah dilarang orang yang tidak berpeluang untuk masuk masjid, menghamparkan tikar sembahyangnya di luar pagar untuk turut berjemaah dan jika berlaku demikian mereka dinasihatkan untuk balik sahaja. Sementara itu, Imam Tingkat 3, Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal, Awang Mohd Helmy bin Haji Jamil, semasa ditemu bual menyatakan rasa syukurnya ke hadrat Allah SWT dan dengan izinNya jua, hari ini seluruh masjid, surau dan balai ibadat dapat dibuka semula bagi jemaah yang telah lama rindukan untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu dan sembahyang Fardu Jumaat berjemaah.

Walau bagaimana pun, dengan pembukaan masjid ini, kita selaku umat Islam perlu mengikuti peraturan-peraturan SOP yang telah ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19. Semoga rakyat dan negara Brunei Darussalam sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan selamat daripada sebarang wabak penyakit yang menakutkan.