Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Dengan bermulanya penggal persekolahan baharu, para pelajar yang masih mengikuti pembelajaran dalam talian, pastinya lebih merindui suasana dalam kelas.
Beberapa pelajar yang ditemu bual melahirkan perasaan mereka apabila sesi pembelajaran masih dilaksanakan secara dalam talian.
Awang Mohammad Hamiz Iman, pelajar Tahun 3 di Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, menyatakan kerinduannya untuk belajar secara bersemuka di sekolah seperti sebelumnya dan bertemu dengan kawan-kawan yang lain.
“Walaupun kerinduan untuk hadir ke sekolah tetap ada, pembelajaran dalam talian yang dilaksanakan pada masa ini juga menyeronokkan, walaupun hanya dapat bertemu kawan-kawan dan guru secara maya,” ujarnya.
Manakala itu, Dayang Aisy Nur Delaila dan Awang Mohammad Iman Yusoef Hakeemi, masing-masing pelajar Tahun 5 dan 4 di Sekolah Rendah Orang Kaya Setia Bakti Kilanas turut merasa rindu untuk kembali belajar secara bersemuka di sekolah.
Sementara itu, beberapa orang ibu bapa juga sempat mengongsikan persediaan persekolahan yang dibuat dengan membeli apa yang penting dulu.
Awang Omarali bin Haji Sidek, 43, berkata, untuk sesi persekolahan anak-anak tahun ini, beliau lebih menumpukan kepada buku-buku teks, buku kerja sekolah dan buku latihan.
“Persediaan yang dibuat tahun ini, berbeza dari tahun-tahun sebelum ini yang mana persediaan keperluan kembali ke sekolah telah dibuat setiap November dengan memulakan dengan pembelian buku-buku kerja dan buku-buku teks,” jelasnya.
Awang Mohamad Bajuri juga menyatakan perkara sama di mana beliau berkata, sesi persekolahan belum dapat berjalan seperti biasa oleh itu, persediaan dibuat seadanya saja dengan membeli mana yang penting dulu seperti buku-buku sekolah.
“Barang persekolahan yang lain seperti pakaian seragam sekolah akan dibuat setelah pengumuman dibuat nanti,” jelasnya.
Katanya lagi, “Anak-anak sering bertanya bila mereka akan dapat kembali ke sekolah selain berjumpa dengan kawan-kawan lain, keterujaan (iski) sebab dapat belajar di kelas dalam suasana dan pelajaran baharu serta beberapa harapan lain untuk sesi persekolahan di tahun baharu ini.”
Beliau seterusnya berharap pembelajaran secara bersemuka akan kembali seperti biasa setelah kanak-kanak di bawah umur 11 tahun sudah divaksinasi selain melaksanakan dan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Menurut beliau lagi, pembelajaran secara bersemuka lebih berkesan berbanding belajar dari rumah kerana jika belajar di dalam bilik darjah, pelajar dapat bertanya secara terus kepada guru dan rakan, tetapi jika di rumah, 90 peratus merujuk kepada ibu bapa dan hanya mengikut kefahaman sendiri.