Rindu suasana Gawai di rumah panjang

KUCHING, 1 JUN – Selama enam tahun berkelana di sini bagi mencari rezeki, Raydilla Kong Kumbau, gadis Iban dari Kapit ini tidak pernah terlepas peluang menyambut Gawai di kampung halaman, namun kali ini pandemik COVID-19 memaksanya menyambut perayaan selepas menuai itu secara sederhana di sini.

Jelas rindu dengan kemeriahan sambutan di kampung halaman, Raydilla , 25, berkata dia hanya ditemani keluarga terdekat berbanding sambutan pada tahun-tahun sudah yang diraikan bersama sanak-saudara yang pulang berkumpul di rumah panjang Nanga Melinau Rumah Anding di Kapit.

“Banyak yang dirindui, antaranya berebut-berebut di kaunter tiket bot ekspres, hidangan rusa pada hari pertama dan acara kerohanian seperti miring,” kata pembantu akaun itu kepada Bernama. – Bernama