Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Ring the Golden Bell tingkat kesedaran pencemaran alam

    VINH CITY – Para pelajar dari 10 buah sekolah rendah di seluruh bandar Vinh di wilayah tengah Nghe An, Vietnam bertanding dalam pertandingan Ring the Golden Bell mengenai perlindungan alam sekitar.

    Peraduan yang bertemakan ‘Chung Tay Hanh Dong-Gin Giu Moi Truong Xanh’ (Bertindak Bersama Melindungi Alam Sekitar) telah berlangsung baru-baru ini di Sekolah Phuong Hoang di Duy Tan Street di Vinh City dengan tujuan untuk membantu pelajar memahami kepentingan alam sekitar dan menerap pengetahuan yang mencukupi tentang cara melindunginya dengan berkesan.

    Acara itu dianjurkan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), Jabatan Pendidikan dan Latihan Vinh, Lagom Lagom Joint Stock Company dan the Vietnam Business for Environment (VB4E), sebuah pakatan yang dimulakan oleh IUCN dan diasaskan dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan TH Group Joint Stock Company.

    Para pelajar yang menyertai peraduan itu dilengkapkan dengan pengetahuan tentang pengumpulan, pengelasan dan kitar semula bahan buangan terutamanya sampah, plastik dan kotak susu. Mereka juga mempunyai peluang untuk meningkatkan pemahaman tentang pemuliharaan alam semula jadi dan haiwan yang jarang ditemui.

    Peraduan itu juga memperkenalkan proses mengitar semula kotak susu melalui aktiviti pengalaman langsung yang membantu menggalakkan mereka menyusun, mengumpul dan mengitar semula bahan buangan dengan betul, dan pada masa yang sama, mencetuskan semangat cinta mereka terhadap alam sekitar.

    Kotak susu yang telah dikitar semula untuk digunakan semula. – ANN/VNS
    Para pelajar yang bersaing di Ring the Golden Bell yang diadakan oleh IUCN dan Jabatan Pendidikan dan Latihan di Vinh City. – ANN/VNS

    Pencemaran plastik telah menjadi salah satu isu alam sekitar yang paling mendesak di dunia dan juga di Vietnam.Menurut IUCN, negara itu kini berada di kedudukan keempat dalam 20 negara teratas dunia dengan jumlah sisa plastik paling banyak dibuang ke laut. Disebabkan oleh pengurusan yang tidak cekap, kira-kira 0.28 hingga 0.73 juta tan plastik dari 20 negara ini dibuang setiap tahun ke dalam laut. Kadar sisa plastik yang dibuang ke lautan di Vietnam pada 2018 adalah kira-kira 4.7kg setiap orang setahun.

    “Semua sisa hari ini, jika tidak dikendalikan dengan betul, akan mengikut aliran air ke laut. Di Ngh An sahaja, kira-kira 1,800 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari tetapi hanya kira-kira 1,400 tan yang dikumpulkan,”kata Pegawai Komunikasi IUCN, Nguyen Thuy Anh.

    Banyak tapak pelupusan sampah di wilayah itu menghadapi lebihan muatan seperti Dong Vinh dan Dien Ngoc, menurut Anh.

    “Tanpa pengurusan yang baik, jumlah sisa ini akan menjejaskan pantai dan mata pencarian penduduk tempatan di sana,” katanya.

    Pegawai IUCE merayu agar penduduk tempatan, khususnya pelajar, menyokong dan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti perlindungan alam sekitar.

    “Daripada tindakan kecil tetapi praktikal, mari kita kurangkan penggunaan plastik sekali guna. Jika awda sudah menggunakannya, cuba kumpul dan kitar semula supaya sisa plastik tidak mencemari alam sekitar. Dengan berbuat demikian, awda telah membuat sumbangan besar untuk melindungi alam sekitar,” kata Anh.

    Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan dan Latihan Vinh, Ngo Thi Nguyet, berkata pera- duan itu telah mewujudkan taman permainan untuk pelajar meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka tentang alam sekitar, sisa plastik, perubahan iklim dan pemuliharaan alam semula jadi.

    “Tindakan anak-anak akan bermula daripada mengitar semula kotak susu yang sering mereka buang setiap hari.

    “Mereka akan lebih peka terhadap alam sekitar dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

    “Dari situ, pelajar sendiri yang akan bertindak menyebarkan mesej positif tentang perlindungan alam sekitar dan meningkatkan tanggungjawab individu untuk memelihara planet hijau kita,” kata Nguyet.

    Bercakap selepas memenangi peraduan itu, Nguyen Minh Quan, pelajar kelas 5A1 di Sekolah Phng Hoàng, berkata: “Terima kasih kepada peraduan itu, saya telah belajar cara mengitar semula plastik dan mengumpul sisa.

    “Saya akan cuba mengaplikasikan ilmu ini dalam kehidupan harian agar dapat membantu menjadikan bumi lebih hijau dan indah.

    “Mulai sekarang, saya juga boleh membimbing rakan dan kanak-kanak lain untuk meletakkan sampah mereka di tempat yang betul dan menyusun sisa supaya boleh dikitar semula.”

    Perlindungan alam sekitar merupakan mata pelajaran penting dalam kurikulum pendidikan dan latihan di Vinh. Pengetahuan alam sekitar telah disepadukan ke dalam kurikulum.

    VB4E ialah Perikatan Perniagaan dan Alam Sekitar negara terkemuka Vietnam yang melibatkan perniagaan dalam melindungi alam sekitar dan memulihara nilai alam semula jadi di negara ini.

    Dengan misi meningkatkan penyertaan perniagaan dalam perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti di Vietnamam, VB4E Alliance telah menjalankan banyak projek dan program untuk menghubungkan perniagaan dengan organisasi perlindungan alam sekitar dan media komuniti. — ANN/VNS

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...