Ringankan beban mangsa

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 14 Mac – Bagi membantu mangsa kebakaran rumah di Daerah Belait, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah menyampaikan agihan zakat pada majlis yang diadakan di Pejabat Hal Ehwal Ugama cawangan Daerah Belait di Jalan Sultan dan Jalan Dato Shahbandar, hari ini.

Zakat berjumlah $1,800 telah diagihkan kepada dua buah keluarga yang disampaikan oleh Ketua Hal Ehwal Ugama cawangan Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Penerima terdiri daripada Awang Abdul Jabar bin Abdullah Beltran, 41 bersama empat keluarganya yang mana dalam kejadian kebakaran pada 1 Februari lalu telah menjejaskan bahagian bawah rumah mereka, yang termasuk ruang tamu dan dapur, di Jalan Teripas, RPN Kampung Pandan, Seria.

Tiada kecederaan dialami oleh keluarga berkenaan yang menerima sejumlah $1,000 pada majlis berkenaan dengan setiap anggota keluarga menerima $200.

Sebuah lagi keluarga ialah Awang Shahminan bin Awang Sulaiman, 44 bersama tiga anggota keluarganya yang menerima sejumlah $800 dengan setiap seorang menerima $200 selain beg sekolah untuk anak-anak.

Kediaman keluarga Awang Shahminan di berek Jalan Singa Menteri, di sini, terlibat dalam kejadian kebakaran pada 2 Februari lalu, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan. Mereka ditempatkan sementara di berek Jalan Dermawangsa, Mumong By-Pass.

Awang Mohamad Aliyani menyerah-kan wang zakat kepada salah seorang penerima.