Ringankan beban pelajar kurang berkemampuan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Bagi mengurangkan beban pelajar yang kurang berkemampuan, Majlis Penyerahan Kutipan Sumbangan Program Bantuan Sarapan Bagi Pelajar Kurang Berkemampuan di Sekolah Rendah Panchor Murai yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu, Kampung Parit.

Seramai 25 murid sekolah berkenaan telah menerima sumbangan tersebut yang disampaikan oleh wakil Kumpulan 6, peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Kerajaan Peringkat Pertengahan (EDPMMO) kepada guru besar sekolah berkenaan, Hajah Suarya binti Haji Ahmad di mana kutipan tersebut berjumlah $20,303.

Dalam Taklimat yang disampaikan oleh Dayang Zubaidah binti Dato Paduka Haji Abu Zar menjelaskan mengenai Skim Fidyah dan Sedekah Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) bahawa Skim Pemakanan ini telah berkembang dan dilaratkan kepada sekolah-sekolah yang lain. Ia bermula dengan pengagihan wang fidyah kerana skim ini telah menarik perhatian ramai orang. Maka ada di antara penderma menyalurkan sedekah melalui skim ini.

Setiap penuntut yang dipilih dibolehkan berbelanja $1 di kantin sekolah pada setiap hari mereka hadir ke sekolah, ini mampu membantu penuntut tersebut membeli minuman dan makanan yang bermasak. Antara maklum balas yang diterima dari sekolah-sekolah di bawah skim ini adalah peningkatan kedatangan sekolah bagi penuntut-penuntut di bawah skim tersebut.

“Alhamdulillah dengan pelancaran ini, Insya Allah MKM akan dapat membantu 316 penuntut di 14 buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara, Temburong dan Belait dari segi pemakanan pada setiap hari sekolah sehingga tamat persekolahan tahun ini,” ujar beliau.

Program tersebut merupakan program kemasyarakatan yang diungkayahkan oleh lima orang pegawai dari pelbagai agensi kerajaan yang mengikuti EDPMMO kali ke-26 dan dikendalikan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Projek ini dipilih atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan pelajar-pelajar bagi memastikan mereka yang kurang berkemampuan dapat menikmati sarapan sebelum memulakan pembelajaran setiap hari. Ini adalah kerana pengambilan sarapan terbukti boleh membantu pelajar untuk lebih fokus semasa sesi pembelajaran dalam bilik darjah dan dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar.

Sesi bergambar ramai selepas penyerahan sumbangan Program Bantuan Sarapan bagi Sekolah Rendah Panchor Murai.