Ringankan bebanan mangsa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Mangsa kebakaran rumah yang berlaku pada 30 September lalu di Kampung Pelambaian terus menerima perhatian ramai apabila menerima sumbangan daripada ketua dan penduduk kampung berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di rumah ketua Kampung Pelambayan, Jalan Kota Batu, dan seterusnya menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mislee bin Haji Abdul Karim.

Sumbangan berupa barangan keperluan seharian dan wang tunai itu dihulurkan oleh ketua Kampung Pelambaian melalui Jabatan Daerah Brunei dan Muara serta para penduduk kampung berkenaan.

Turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian ialah penghulu dan pemangku ketua-ketua kampung di Mukim Kota Batu.

Para penerima terdiri daripada Haji Manan bin Haji Mohd Yusof dan isteri serta anak-anak. Selain menerima barangan keperluan harian, penerima juga menerima wang tunai sumbangan penduduk kampung berjumlah $1,075.

Pegawai Daerah Brunei dan Muara ketika menyerahkan sumbangan kepada salah seorang wakil mangsa yang terlibat dalam kebakaran.

Manakala itu, Awang Azmin bin Haji Mohd Yusof menerima $250 dan Dayang Malizah binti Haji Mohd Yusof menerima sebanyak $250.

Haji Manan ketika ditemu bual mengucap ribuan terima kasih kepada penduduk Kampung Pelambayan yang berkesudian memberikan bantuan bagi meringankan lagi bebanannya harian.

Setakat ini, Haji Manan juga menerima bantuan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) berupa tempat tinggal yang mana mereka ditempatkan buat sementara waktu di flat Kampung Belimbing.

Menceritakan mengenai musibah yang menimpa mereka, Haji Manan berkata, kejadian berlaku dari tingkat bawah rumah yang disebabkan kerosakan elektrik.

Beliau juga berharap agar pihak-pihak tertentu akan dapat memberikan bantuan berupa tempat tinggal tetap memandangkan tempat tinggal yang terkini adalah buat sementara sahaja.

Dengan adanya sumbangan berkenaan diharap akan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mangsa dan dengan harapan semoga mereka lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dalam menjaga keselamatan ahli keluarga daripada ditimpa musibah sebegini.