Ringankan bebanan mangsa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Majlis Ugama Islam (MUIB), hari ini, telah menyerahkan agihan wang zakat berjumlah $3,200 dan peralatan sekolah kepada mangsa-mangsa kebakaran rumah di RPN Kampung Mentiri sebagai usaha meringankan bebanan mereka.

Agihan zakat sebanyak $200 setiap seorang telah diserahkan oleh Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop pada majlis berlangsung di Bangunan Baharu, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Para penerima terdiri daripada Awang Sabtu bin Timbul@Timbol (pemilik rumah) dan isteri, Dayang Ninah binti Nyo serta empat orang anaknya.

Turut menerima ialah menantu Awang Sabtu iaitu Awang Johardi bin Mohd Edham dan isteri, Dayang Sarinah binti Sabtu serta lapan orang anaknya. Anak-anak yang bersekolah turut menerima bantuan peralatan sekolah.

Kesemua wang tunai dan peralatan persekolahan berkenaan diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.

Haji Abdul Aziz menyampaikan derma kepada salah seorang penerima.