KUALA LUMPUR, 12 Mei – Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini apabila mata wang Amerika Syarikat itu lemah berbanding mata wang utama lain susulan kenaikan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, unit tempatan disebut harga pada 4.3440/3470 berbanding dolar AS daripada 4.3460/3510 pada Khamis. Seorang peniaga berkata keadaan politik yang tidak menentu di Amerika Syarikat, berkaitan dengan pemecatan Pengarah FBI James Comey pada Selasa oleh Presiden Donald Trump telah menyebabkan pelabur mencari pelaburan selamat dan ini menyebabkan kejatuhan ekuiti dan dolar AS.
Dolar AS diniagakan di bawah paras tertinggi dalam tempoh lapan minggu berbanding yen pada Jumaat dan para pelabur kini menumpukan kepada data ekonomi AS akan datang bagi menyediakan hala tuju kepada dolar AS.
Sementara itu, mata wang tempatan disokong oleh kenaikan harga minyak mentah hari ini. Harga minyak meningkat susulan kenyataan oleh menteri minyak Iraq dan Algeria yang menyatakan bahawa Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan rakan-rakan dalam perjanjian pengurangan pengeluaran minyak telah mencapai kata sepakat melanjutkan perjanjian itu sehingga akhir 2017.
Pada sesi penutup ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5859/5902 daripada 5.6159/6228 pada Khamis dan tidak berubah berbanding euro pada 4.7232/7269 daripada 4.7232/7304.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0859/0900 daripada 3.0849/0893 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.8213/8246 daripada 3.8059/8113 semalam. – Bernama