Ringgit M’sia tetap kukuh

KUALA LUMPUR, 14 JULAI – Minat pelabur asing terhadap pasaran Malaysia merangkumi ekuiti tempatan dan ringgit terus kekal kukuh, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata pelabur asing masih menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia dengan nilai belian ekuiti RM214.73 juta bagi tempoh 8 hingga 11 Julai berbanding RM253.8 juta yang dicatatkan antara 1 hingga 4 Julai.

Perkembangan positif daripada perang perdagangan China-Amerika Syarikat (AS) sejak Sidang Kemuncak G20 pada akhir Jun di samping petunjuk terbaru susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell mengenai kemungkinan pengurangan kadar faedah seawal Julai telah mendorong keyakinan dalam pasaran ekuiti, katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit turut merekodkan aliran memberangsangkan minggu ini apabila mata wang tempatan meningkat 0.5 peratus kepada RM4.11 berbanding dolar AS.

“Bagi tempoh mendatang, pelabur akan memantau perkembangan perang perdagangan sama ada akan berlaku perbincangan antara China dan AS dalam masa terdekat.

“Mereka juga akan mengikuti rapat mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed pada 30 hingga 31 Julai bagi mengetahui sama ada Fed akan melaksanakan pengurangan kadar faedah buat kali pertama sejak krisis subprima pada 2007/2008,” katanya. – Bernama