Oleh Zanyra Dawoud
MERUPAKAN salah satu jenama kegemaran terkini dalam dunia fesyen pakaian wanita, Rebecca Minkoff kembali lagi dengan satu koleksi terbaru yang sangat segar dan menarik.
Dalam koleksi terbaru ini, pereka fesyen tersebut telah mengambil inspirasi daripada suasana di tempat asalnya iaitu, San Diego, California.
Rata-rata ciri-ciri yang ditampilkan pada busana di dalam koleksi terbaru ini adalah berwarna-warni, memilki motif bunga yang menarik dan juga turut menampilkan gaya ropol bagi memberikan sentuhan feminin kepada wanita yang menggayakannya.
Gaun ringkas dan santai merupakan fesyen utama yang ditampilkan dalam koleksi terbaru ini. Terdapat pelbagai gaya yang ditampilkan iaitu versi panjang dan pendek, gaya bohemian dan potongan yang berbeza di bahagian tangan sekaligus memperlihatkan sifat dinamik yang dimiliki oleh pereka fesyen yang sangat berbakat itu.
Menyentuh mengenai fabrik yang digunakan pula Minkoff kelihatan lebih selesa memilih material yang ringkas seperti cotton dan lace yang sangat selesa dipakai dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, Minkoff juga turut mereka pelbagai jenis seluar seperti denim, memiliki ruangan bahagian kaki yang luas, lace frocks dan juga seluar basic cotton berwarna putih bagi mempelbagaikan lagi gaya wanita moden.
Terdapat juga satu rekaan busana yang dihasilkan daripada kulit seperti jaket kulit berwarna hitam yang memberikan gaya stailo dan kontemporari kepada wanita yang menggayakannya.
Secara ringkas, koleksi terbaru daripada Minkoff adalah sesuai bagi wanita yang tetap kelihatan feminin walaupun tampil dengan gaya yang santai dan ringkas.