Tuesday, October 15, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rins tawan MotoGP Amerika

    LOS ANGELES, 15 April – Alex Rins dari Sepanyol bangkit menakluki Grand Prix Amerika pada Ahad untuk kemenangan sulung dalam kerjaya MotoGP selepas rakan senegaranya, Marc Marquez mengalami kemalangan.

    Penunggang Suzuki itu mengatasi cabaran ganas dari Valentino Rossi dari Itali pada peringkat terakhir di Litar Austin America di Texas.

    Jack Miller dari Australia dengan jentera Ducati menduduki tempat ketiga. Kemenangan pertama Rins di Austin menyaksikan dominasi penunggang Honda Marquez berakhir kelmarin.

    Marquez, yang bermula pada petak pertama, telah mencatatkan enam kemenangan berturut-turut di Texas sebelum pusingan ketiga Kejohanan Dunia MotoGP 2019 tetapi cabarannya berakhir selepas jatuh pada selekoh ke 12 pusingan kesembilan ketika masih berada di depan. Sementara itu, Rins dibiarkan meraikan kemenangan selepas menjadi pelumba pertama menang dalam ketiga-tiga kategori di Texas. Dia menang perlumbaan Moto3 pada 2013 dan Moto2 pada 2016 di Austin.

    “Saya sangat gembira dan tiada kata-kata untuk menerangkan bagaimana perasaan saya. Apabila saya menyeberangi garisan penamat, emosi saya meledak,” kata lelaki berusia 23 tahun itu.

    “Suzuki telah melakukan pekerjaan hebat dan mencipta motosikal yang mengagumkan. Memang luar biasa untuk mengalahkan Valentino yang merupakan idola saya ketika saya masih kecil,” katanya.

    Andrea Dovizioso dari Itali, yang menduduki tempat keempat pada Ahad, melonjak ke tangga teratas keseluruhan dengan 54 mata, diikuti Rossi (51), Rins (49) dan Marquez (45). – AFP

    Alex RIns menjulang trofi MotoGP Amerika selepas berjaya menakluki Litar Austin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda