Rintis penggunaan tabung sel stem

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) menempa kerjasama baharu bersama pelopor dan tabung darah tali pusat terbesar Malaysia, Stemlife Berhad (Stemlife) dengan perasmian Pusat Sumber Tabung Sel Stem di Klinik Obstetrik dan Ginekologi, JPMC hari ini.

JPMC dalam kenyataannya hari ini, mengatakan pusat tersebut akan menyediakan akses kepada keluarga yang bakal menimang cahaya mata untuk mengumpul maklumat mengenai penggunaan sel stem daripada darah tali pusat yang dapat menyelamatkan nyawa sejurus sebelum atau selepas berunding dengan pakar obstetrik mereka.

Menurut Pengarah Perubatan JPMC, Dr Meera Sahib Kabeer, “Pusat Sumber Tabung Sel Stem Stemlife yang baharu dibuka di bangunan JPMC akan memperkukuh lagi kecekapan operasi kami demi memenuhi permintaan yang meningkat dalam tabung sel stem dalam kalangan pasangan yang bakal menimang cahaya mata di Brunei.

“Lagipun, warga Brunei juga boleh berasa lebih yakin mengetahui mereka menerima perkhidmatan standard terbaik yang disediakan oleh Stemlife dan JPMC, memandangkan kedua-duanya telah menjalin hubungan kerja yang memberangsangkan sejak menjadi rakan kongsi pada tahun 2016,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Stemlife Berhad, Zahrein Redza mengatakan kerjasama itu me-rupakan contoh komitmen Stemlife untuk mengembangkan rangka tindakan mereka di Asia dan menawarkan perkhidmatan tabung darah tali pusat yang diiktiraf di dunia.

Pada 2018, Stemlife mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Tabung Darah Amerika Stemlife (AABB) yang mana ia akan memperkukuh keyakinan pelanggan Brunei, menjamin mereka bahawa darah tali pusat anak damit mereka akan dikendalikan dengan betul dan disimpan dengan teliti di bawah takat beku untuk kegunaan perubatan pada masa depan,” katanya.

Darah saraf tunjang dan tali pusat adalah dua sumber terbaik sel stem tetapi ia perlu diambil sebaik sahaja anak damit dilahirkan. Selepas diambil dan dibekukan, darah tali pusat boleh digunakan selama beberapa dekad, maka ibu bapa yang menyimpan sel anak damit mereka hari ini boleh menerima kebaikan bukan sahaja daripada kemajuan dalam penyelidikan dan terapi hari ini, tetapi juga penemuan berpotensi yang bakal berlaku pada tahun-tahun akan datang.

Sel stem darah tali pusat telah pun terbukti berguna dalam rawatan lebih daripada 80 jenis penyakit, seperti leukemia, limfoma dan neuroblastoma. Ahli sains percaya potensi sebenar sel stem masih belum ditinjau dan boleh dilanjutkan untuk memasukkan gangguan saraf seperti autisme dan palsi serebrum berdasarkan pertumbuhan besar dalam jumlah percubaan klinikal yang dijalankan di seluruh dunia. Lebih daripada 1,500 percubaan klinikal yang membabitkan sel stem yang boleh ditemui dalam tali pusat juga sedang dijalankan untuk merawat penyakit yang tidak dapat disembuhkan seperti strok dan serangan jantung.

Zahrein Redza berkata kerjasama Stemlife dan JPMC akan dapat menawarkan perkhidmatan tabung darah tali pusat diiktiraf di dunia. – Gambar serahan JPMC