Risalah pelbagai bahasa berigakan langkah kawalan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Bagi mengelakkan pelanggaran arahan semasa Operasi Pulih dan memastikan semua pihak termasuk warga asing lebih faham mengenai langkah-langkah pengawalan yang dikuatkuasakan, pihak kerajaan akan menyediakan risalah-risalah pelbagai bahasa untuk diberigakan kepada masyarakat serta dapat memudahkan pihak majikan untuk menerangkan lebih terperinci kepada pekerja-pekerja mereka.

“Menjadi tanggungjawab setiap majikan, sama ada syarikat ataupun persendirian, untuk memastikan supaya pekerja masing-masing mematuhi peraturan-peraturan dalam menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.”

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut beliau lagi, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, selaku lidah, mata dan telinga kerajaan, juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan penduduk kampung patuh dengan arahan-arahan seperti tidak meninggalkan tempat tinggal, mengamalkan tanggungjawab sosial masing-masing dengan penjarakan fizikal dan tidak mengadakan majlis-majlis keramaian.

“Di samping itu, para penghulu mukim dan ketua kampung juga hendaklah memantau kesejahteraan anak-anak buah dengan memastikan mereka dalam keadaan yang sihat dan baik serta menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa berucap pada sidang media yang diadakan kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Dari segi hal ehwal kebajikan masyarakat pula, ujar beliau, orang ramai yang tinggal bersendirian dan memerlukan bantuan bolehlah mendapatkan sebarang nasihat dan bantuan daripada ketua kampung masing-masing dan menghubungi talian hotline Pusat Koordinasi Kebangsaan Menangani COVID-19 atau Talian Kebajikan 141.

Manakala bagi isu-isu kesejahteraan berkaitan pekerja-pekerja asing termasuk rumah-rumah yang menempatkan pekerja syarikat, Yang Berhormat Dato berkata, beberapa kementerian pada masa ini sedang membuat pemantauan bagi menangani isu tersebut.

Beliau menambah, jawatankuasa yang dianggotai oleh pelbagai agensi telah ditubuhkan untuk mengenal pasti tindakan-tindakan dengan segera dan strategi jangka panjang untuk menjaga kesejahteraan pekerja-pekerja asing dan menangani isu-isu yang ditimbulkan.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama mendukung hasrat kerajaan supaya kita turut sama-sama memelihara keselamatan dan kesejahteraan awam dengan mematuhi protokol kesihatan dan garis panduan yang telah ditetapkan,” seru beliau.