Risalah perkenalkan produk kraf tangan Tutong

Oleh Nurdiyanah R.

TUTONG, 27 NOV – Demi memberigakan keunikan dan keistimewaan produk-produk kraf tangan yang diusahakan oleh penduduk di Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dengan kerjasama majlis-majlis perundingan kampung Daerah Tutong telah melancarkan Buku Risalah Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Daerah Tutong.

Pelancaran buku risalah berkenaan telah disempurnakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung; Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit pada majlis yang berlangsung di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Pekan Tutong, hari ini.

Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi bersama majlis menjelaskan, penerbitan risalah berkenaan bermatlamat untuk mengembang majukan produk-produk di daerah berkenaan, di samping berfungsi sebagai business matching antara pembeli dan pengusaha untuk memenuhi sebarang pembelian atau tempahan.

Sejurus pelancaran, tetamu-tetamu kehormat dan para jemputan turut berkesempatan menyaksikan promosi produk-produk di ruang Galeri 1K1P bangunan berkenaan sekali gus beramah mesra bersama pengusaha-pengusaha yang tersenarai dalam buku risalah tersebut Buku risalah tersebut mengandungi lebih 50 jenis produk kraf tangan yang dihasilkan oleh 14 orang pengusaha.

Penerbitannya merupakan kesinambungan daripada Buku Panduan 1K1P Daerah Tutong yang telah dilancarkan pada Januari lalu.

Yang Berhormat Haji Umarali, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab dan Yang Berhormat Haji Ramli melancarkan Buku Risalah 1K1P Daerah Tutong di Bangunan Lama Pejabat Daerah Tutong, Pekan Tutong, kelmarin. – Gambar daripada Jabatan Daerah Tutong