Risau iman turun naik – Aprena Manrose

Penghijrahannya bukan secara mendadak, diatur secara perlahan-lahan, namun, akhirnya pelakon Aprena Manrose, 28, dijentik pintu hati untuk berubah sepenuhnya.

Awalnya, niat anak bongsu pasangan selebriti, Allahyarham Rosnah Mohd Noor dan bekas penyanyi dangdut, Iwan itu menyarung hijab pada Ramadan lalu bagi membiasakan diri, sebelum benar-benar berhijab sempurna. Namun, siapa sangka, perasaan selesa menguasai diri hingga tidak mahu menanggalkannya.

Sungguhpun begitu, pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Tiada Arah Jodoh Kita itu enggan terlalu berkongsi mengenai perubahan dirinya. Hingga kini, Aprena masih mengunci mulut biarpun semakin selesa berkongsi foto berhijab dalam laman Instagram (IG).

Secara jujurnya, Aprena berkata, dia kurang selesa apabila diajak berbicara mengenai penghijrahannya. Sebaliknya, mahu peminat menyedari perubahan imejnya tanpa perlu mencanangkan kepada khalayak.

“Jika boleh, saya tidak mahu terlalu menguar-uarkan mengenai perubahan imej. Biarlah orang nampak dan nilai, asalkan bukan datang daripada mulut saya.

Aprena berkata, dia kurang selesa apabila diajak berbicara mengenai penghijrahannya. – Agensi

“Bukan apa, saya bimbang andai berubah hati, sedangkan saya sibuk berkongsi mengenai perubahan diri. Untuk kekal istiqamah bukan mudah.

“Lagipun, saya hanya manusia biasa, masih belajar dan berubah secara perlahan-lahan. Saya risau iman turun naik, jadi lebih baik tidak berbicara secara terbuka.

“Biarlah perjalanan penghijrahan ini nampak perlahan. Apa yang boleh dikatakan, saya masih belajar untuk menjadi insan yang lebih baik,” katanya kepada media.

Aprena atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, dia mula belajar mengenakan hijab sejak Ramadan lalu. Ia berkat doa bapa dan suaminya, Mohd Afiq Hazman.

Katanya, situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan pergolakan yang berlaku di Palestin antara pendo-rong yang menyebabkan hatinya ingin belajar berhijab.

“Secara kebetulan, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ramadan lalu. Oleh kerana tidak terikat dengan penggambaran, saya mengambil peluang belajar berhijab.

“Sepanjang sebulan, saya akan berhijab jika hendak ke mana-mana. Pada Syawal, saya rasa lain macam apabila tidak bertudung ketika mengambil gambar bersama suami dan keluarga.

“Jadi, saya menyarungkan tudung ketika bergambar. Namun, saya masih terikat dengan beberapa tawaran lakonan yang diterima sebelum berhijab.

“Nak atau tak nak, saya kena tepati perjanjian yang dipersetujui lebih awal,” kata Aprena.

Namun, katanya, dia tidak menyangka hasrat berhijab dalam drama yang dipersetujui awal tidak ditolak syarikat produksi.

“Allah permudahkan perjalanan saya berhijrah. Setakat ini, apabila saya beritahu mahu memakai tudung ketika penggambaran, tidak siapa membantah.

“Saya percaya apabila ada niat mahu berubah, Allah jentik perasaan insan di sekeliling saya.” – Agensi