Risau nenek sakit

Soal jodoh, tiada siapa pernah tahu. Bila dan siapa, bukan kita penentu. Manusia hanya mampu merancang, tapi semuanya atas ketentuan Allah SWT.

Itu juga yang sering didendangkan figura terkenal, Zizan Razak, 36, yang mana soalan mengenai jodoh tidak pernah lekang ditanyakan kepada dirinya.

Walaupun pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita, Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak tenang berdepan setiap apa yang muncul depan mata.

Malah, pada usia sekarang Zizan yang juga pelakon filem Polis Evo mengakui tidak mahu terlalu memikirkan soal rumah tangga.

Ditambah pula situasi dan keadaan yang tidak mengizinkan seluruh keluarganya apabila nenek tercinta sedang sakit.

“Buat masa ini saya tak fikir langsung mengenai kahwin atau apa saja. Saya tak ada masalah dengan itu. Pada saya banyak perkara lain yang perlu dibuat lagi iaitu nak menjaga emak dan keluarga saya.

“Sekarang pun nenek sedang sakit, itu pun agak merisaukan saya. Dalam pada saya sibuk nenek pula sakit, jadi saya risau kalau berlaku apa-apa saya nak balik agak susah. Semua itu membuatkan saya berfikir. Kadang-kadang orang tak faham, jadi saya cuba buat terbaik untuk diri sendiri,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai keadaan neneknya yang berusia lebih 80 tahun, Zizan yang juga pengacara berkata, doktor mengesyaki neneknya menghidap kanser.

“Itu yang membimbangkan kami sekeluarga. Hal lain saya okay, tapi apabila bahagian ini saya berasa berat. Nenek pula berada di Dungun, manakala saya dan emak di Kuala Lumpur. Ada ketika saya tak cukup rehat dengan betul kerana kena ulang-alik ke sana,” katanya. – Agensi

Emosi Zizan mudah terusik kerana tidak cukup rehat. – Agensi