Risiko aset bank ASEAN meningkat

KUALA LUMPUR, 10 OGOS – Bagi bank-bank di negara ASEAN dan India, pandemik COVID-19 yang mencetuskan langkah-langkah pengekangan ketat akan menghalang pemulihan ekonomi dan menghakis kemampuan pembayaran semula hutang peminjam, sekali gus meningkatkan risiko aset mereka, kata Moody’s Investors Service dalam satu laporan.

Bagaimanapun, penampan penyerapan kerugian bank yang kukuh, sokongan dasar dan kesan virus yang tertumpu pada beberapa segmen akan mengekalkan kekuatan kredit bank-bank ini, katanya dalam laporan pertama daripada beberapa siri yang meliputi kesan baharu gelombang koronavirus terhadap  bank-bank di ASEAN dan India.

“Pembukaan semula aktiviti ekonomi global akan meningkatkan pertumbuhan perdagangan di Vietnam (Ba3 positif), Malaysia (A3 stabil ) dan Singapura (Aaa stabil ).

“Ini akan membantu mengimbangi gangguan ekonomi domestik daripada pandemik itu walaupun kadar pemberian vaksin yang perlahan merupakan risiko bagi Vietnam,” kata Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Rebecca Tan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bank-bank di Thailand (Baa1 stabil), Filipina (Baa2 stabil), dan Indonesia (Baa2 stabil) terutamanya sangat rentan kerana ekonomi-ekonomi ini terus bergelut dengan peningkatan jumlah kes virus dan ini telah melonjakkan lagi ketidakpastian mengenai pembukaan semula ekonomi mereka. – Bernama

Pembukaan semula aktiviti ekonomi global akan meningkatkan pertumbuhan perdagangan di Singapura, Vietnam dan Malaysia. – AP