Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Risiko bekalan hantui pasaran ekonomi

    PARIS, 13 JULAI – Harga minyak yang tinggi belum lagi menjejaskan permintaan yang dijangka terus meningkat dan mungkin tidak lama lagi mengatasi bekalan, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), hari ini.

    Ia memberi amaran bahawa pemulihan ekonomi global boleh terjejas melainkan kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan penggunaan dan harga minyak yang menimbulkan ancaman kepada kestabilan di sesetengah negara.

    “Tanpa campur tangan dasar yang kukuh dalam penggunaan tenaga, risiko akan kekal tinggi sehingga ekonomi dunia tidak lagi dapat diselamatkan,” kata agensi berpangkalan di Paris yang memberikan nasihat kepada negara-negara perindustrian terhadap polisi tenaga dalam satu laporan bulanan terkini bagi pasaran minyak.

    Harga minyak meningkat kira-kira AS$80 setong pada awal tahun ini kepada lebih AS$120 setong ketika berlakunya pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan dan pembukaan semula ekonomi China selepas perintah kawalan pergerakan COVID dilonggarkan, menunjukkan jumlah permintaan yang memberansangkan.

    Jika harga petrol yang tinggi mula mengurangkan permintaan di negara perindustrian, IEA berkata ia telah diimbangi oleh lantunan semula yang lebih besar daripada jangkaan dalam permintaan oleh China dan beberapa negara yang sedang membangun.

    Pada masa ini, IEA menjangkakan permintaan minyak meningkat pada tahun ini kepada 99.2 juta tong setiap hari dan kepada 101.3 juta tong setiap hari pada tahun depan.

    Sementara itu, bekalan meningkat kepada 100.1 juta tong setiap hari tahun ini tetapi jika ia mencecah rekod yang diramalkan iaitu sebanyak 101.1 juta tong setiap hari tahun depan, ia akan menurun di bawah permintaan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mula mengundi dalam pilihan raya terbesar dunia

    NEW DELHI, 19 APRIL - Berjuta-juta orang India mula mengundi pada hari ini dalam pilihan raya enam minggu yang merupakan referendum ke atas Narendra...