Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Risiko cacar monyet menular pesat ‘amat rendah’

    STOCKHOLM, 24 MEI – Risiko cacar monyet merebak secara meluas dalam kalangan penduduk adalah sangat rendah dan penularan boleh dihentikan di luar negara endemik di Afrika Tengah dan Barat, kata pegawai kesihatan selepas kes dikesan di Eropah dan Amerika Utara, bulan ini.

    Kurang daripada 200 kes yang disahkan dan disyaki direkodkan sejak awal Mei di Australia, Eropah dan Amerika Utara, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan penyakit itu.

    Walaupun cacar monyet sudah dikenal pasti selama 40 tahun, WHO berkata ia adalah pertama kali beberapa kes dikesan di banyak negara secara serentak dan dalam kalangan individu yang tidak mengunjungi kawasan endemik di Afrika.

    Bagaimanapun agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata wabak di negara bukan endemik boleh dikawal, sekali gus penularan cacar monyet daripada manusia kepada manusia dapat dihentikan.

    Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) Kesatuan Eropah (EU) juga berusaha mengurangkan kebimbangan mengenai penyebaran dalam kalangan orang ramai.

    Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menegaskan pada Isnin ‘usaha tambahan’ tidak diperlukan untuk mencegah penularan.

    “Ini adalah situasi yang boleh dibendung, terutamanya di negara-negara yang mana kita melihat wabak ini berlaku di seluruh Eropah, dan di Amerika Utara,” kata Ketua Teknikal WHO, Maria Van Kerkhove semalam melalui saluran media sosial agensi kesihatan PBB.

    “Kami mahu menghentikan penularan daripada manusia kepada manusia. Kita boleh lakukan ini di negara bukan endemik,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...