Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
1 JANUARI 1984 merupakan hari bersejarah buat Negara Brunei Darussalam dan kini sudah 34 tahun berlalu. Beberapa detik dan peristiwa penting dapat disaksikan pada masa itu.
Dalam menyambut Hari Kebangsaan pertama yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 23 Februari 1984, pelbagai acara telah disusun oleh ahli jawatankuasa bagi memeriahkan lagi hari bersejarah itu seperti persembahan padang dan perarakan bendera yang dianggotai oleh pegawai-pegawai keselamatan.
Pada hari kemuncak sambutan, seluruh rantau Asia dan Pasifik termasuklah negara-negara Barat dan ASEAN menyaksikannya. Dianggarkan lebih 40,000 orang membanjiri kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah terdiri daripada ketua-ketua dan pembesar-pembesar negara, orang-orang yang dikurniakan gelaran, menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penuntut-penuntut sekolah dan juga orang ramai.
Salah seorang penuntut lepasan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Haji Abdul Rahim bin Haji Metussin, telah membacakan ikrar taat setia kepada raja dan negara pada hari itu. Gemuruh tepukan dan sorakan daripada para tetamu dan orang ramai jelas menunjukkan kemeriahan hari tersebut. Laungan lagu kebangsaan yang dinyanyikan oleh penuntut-penuntut sekolah dan jemputan-jemputan yang hadir serta iringan Pasukan Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei membangkitkan lagi semangat kemerdekaan.
Acara turut diserikan dengan persembahan padang yang dipersembahkan oleh pelajar-pelajar sekolah berhadapan pentas diraja. Kibaran bendera kecil daripada penuntut-penuntut sekolah, dari mula hingga selesai majlis acara bersejarah itu, turut mengalu-alukan kedatangan pembesar-pembesar negara. Keceriaan dan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat dan penduduk pada masa itu jelas terpancar sambil melaungkan “Merdeka Brunei!.”