Ristaan sejarah warisan lumba perahu

Oleh Sim Y.H.

Tradisi berperahu amat sinonim dengan masyarakat Negara Brunei Darussalam khususnya masyarakat Kampong Ayer di mana mereka sentiasa berdamping dengan perahu dan berkayuh dengan pantas untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di Sungai Brunei.

Keunikan kehidupan harian masyarakat Kampong Ayer yang menggunakan perahu bagi kegiatan mata pencarian mereka pada zaman dahulu seperti nelayan dan padian menjadikan tradisi berkayuh itu satu warisan penting dalam sejarah masyarakat Brunei.

Dengan kegiatan berkayuh pantas itu, ia mencetuskan idea untuk mengadakan pesta lumba perahu atau berkayuh di mana pesta lumba berkayuh secara bersistem atau regata mula diperkenalkan pada awal tahun 1930an.

Secara lazimnya, lumba perahu itu berlangsung pada Januari setiap tahun sehingga timbulnya istilah lumba berkayuh bagi masyarakat Kampong Ayer sebagai Bajanuari atau Berjanawari.

Pada tahun 1950an, kegiatan Berjanawari yang biasanya diadakan pada bulan Januari bertukar sambutannya kepada bulan September bagi acara Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke-28 yang memerintah ketika itu.

Regata Brunei Darussalam merupakan acara temasya sukan air yang sudah lama dianjurkan di negara ini yang mempunyai sejarah, warisan dan tradisinya tersendiri di dalam sanubari masyarakat tempatan. – Infofoto

Kegemilangan lumba perahu

Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien merupakan peminat lumba perahu dan Baginda sendiri berkenan menyertai lumba perahu bagi mewakili Pasukan Orang-orang Disampiri Gelaran bagi acara 15 orang pekayuh.

Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam pesta lumba perahu di Sungai Brunei ketika itu bukan sahaja terdiri daripada pasukan-pasukan dari Kampong Ayer tetapi juga pasukan dari daerah di negara jiran seperti Punang, Sundar, Awat-Awat, Kuala Lawas, Tuaran dan Limbang.

Dalam tahun 1980an hingga 1990an, lumba berkayuh yang dikenali dengan nama lumba perahu tradisional terus diadakan di Kampong Ayer. Pada awal tahun 2000, pesta lumba perahu yang pada lazimnya diadakan di Kampong Ayer, Sungai Brunei mula dipindahkan ke Kompleks Sukan Air, Serasa, Muara.

Pada 2012 pula, untuk mengembalikan nostalgia dan kegemilangan lumba perahu di Kampong Ayer, Sungai Brunei, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (yang kini dikenali sebagai Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan) mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula suasana keraian di Pusat Bandar Seri Begawan dengan menganjurkan pesta lumba perahu yang dikenali sebagai Regata Brunei Darussalam pada 22 Januari 2012.

Regata Brunei Darussalam 2012 juga mencatatkan ristaan sejarah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bercemar duli menyertai Acara Khas Lumba Perahu Regata Brunei Darussalam di perairan Sungai Brunei berhadapan dengan Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan.

Sejak itu, Regata Brunei Darussalam terus menjadi acara yang terus mendapat respons yang positif dalam kalangan masyarakat di mana ia dapat menanamkan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Brunei, meningkatkan dan mengembalikan kemeriahan serta keriangan di Kampong Ayer serta Pusat Bandar dan juga mengembalikan nostalgia pesta lumba perahu yang bermula sejak 1930an.

Pada masa yang sama, ia juga merupakan satu acara yang mampu untuk menarik minat pelancong bukan sahaja dari dalam negara dan kawasan berdekatan tetapi juga luar negara yang dapat menyaksikan sendiri kemeriahan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum negara yang hidup dengan penuh keharmonian.

Di samping itu, acara ini dapat mengetengahkan budaya masyarakat yang unik dan bagi para pelancong mereka boleh merasai sendiri keseronokan menonton pelbagai acara perlumbaan yang diadakan sepanjang regata berkenaan.

Regata Brunei Darussalam merupakan acara temasya sukan air yang sudah lama dianjurkan di negara ini yang mempunyai sejarah, warisan dan tradisinya tersendiri di dalam sanubari masyarakat Brunei.

Ia mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat yang bersatu-padu, hormat-menghormati dan bertolak ansur dalam sama-sama memberikan sokongan serta sumbangan kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam.