Risteena dedah bakal bertunang

Teka-teki perhubungan Nur Risteen Munim, 30, bersama seorang jejaka yang dirahsiakan identitinya semakin hangat diperkatakan apabila pelakon terbabit berkongsi kad jemputan ke sebuah majlis di Putrajaya.

Memuat naik gambar kad undangan berkenaan menerusi laman sosial Instagramnya malam tadi, pelakon itu bagai mengotakan janjinya untuk berkongsi mengenai perkara itu bersama umum, dalam masa terdekat.

Sehingga kini, biarpun tidak mendedahkan gerangan pemuda yang berjaya menawan hatinya, ramai yang membuat spekulasi jejaka tersebut adalah bakat baharu dunia seni, Isa Khan.

“Jika awda ingin mengetahui cerita sebenar, kenalah datang ke majlis itu nanti. Segala-galanya akan terjawab pada tarikh berkenaan,” katanya.

Biarpun tidak menyatakan dengan jelas majlis bakal diadakan itu, tidak kurang andaian dibuat kononnya ia majlis pertunangan pelakon terbabit dengan pemuda berkenaan.

Pelakon Menjinak Ombak itu memaklumkan, majlis terbabit hanya dibuat secara kecil-kecilan.

“Ia majlis biasa-biasa sahaja,” pintasnya yang enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung acara yang dikatakan bertemakan malam romantis itu.

Baru-baru ini, Risteena mendedahkan hubungan selama tujuh tahun dengan Ikhwan Khairuddin sudah berakhir, beberapa bulan lalu.

Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas juga berkata, ‘jejaka misteri’ yang hadir ke dalam hidupnya bagaimanapun berjaya merawat kedukaan hati selepas perpisahan itu. – Agensi

Risteena dikatakan bakal bertunang dengan Isa Khan pada 6 Disember ini.