Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Rita Nadira akur dibenci orang

-

Berikutan keberkesanan lakonan antagonis yang sering dijayakannya, pelakon Rita Nadira mengakui sering dilemparkan kata-kata kesat dan hinaan oleh individu yang tidak dikenalinya.

Akur dengan ‘kebencian’ orang yang terbawa-bawa oleh emosi lakonan yang diberikan, pelakon berusia 25 tahun itu terpaksa merelakan dirinya dibenci orang.

“Jujur sampai ada yang sanggup melemparkan kata-kata kesat dan hinaan yang disifatkan keterlaluan kerana terbawa-bawa dengan emosi lakonan saya berikan.

“Pelbagai gelaran jahat dan tidak enak didengar adalah antara hinaan yang pernah dilempar kepada saya, namun saya terima.

“Saya percaya apabila dibenci sedemikian rupa, lakonan dipersembahkan berjaya diserlahkan. Kalau begini caranya, saya tak kisah ‘dibenci’,” katanya yang memulakan karier sebagai peragawati.

Tambah pelakon drama Jangan Menangis Cinta itu, segala makian, cacian dan cemuhan bukan hanya dilemparkan secara berdepan, malah di media sosial juga. Justeru, bagi mengelakkan perbalahan di akaun media sosial, Rita memilih untuk mengehadkan komen daripada pengikutnya.

Rita mengatakan segala makian, cacian dan cemuhan bukan hanya dilemparkan secara berdepan, malah di media sosial juga. – Agensi

“Bukan setakat ruangan komen dalam Instagram tetapi mesej langsung penuh makian pun bertimbun-timbun saya terima sehingga ke hari ini.

“Bagaimanapun, saya sejak awal lagi sudah bersedia untuk dikecam dan menjadi sasaran warganet melepaskan amarah terbuku mereka.

“Secara tidak langsung watak sebegitu menjadi batu loncatan untuk saya membina nama dan dikenali,” jelasnya.

Tegas Rita, dia sama sekali tidak menyalahkan andai ada penonton yang tidak menyukai dirinya kerana lakonan yang diberikan kerana dia sendiri merasai perkara sama.

“Memang tidak dinafikan, orang kenal saya menerusi watak-watak antagonis yang minta dimaki semua. Saya kalau tengok balik lakonan sendiri pun rasa benci, apatah lagi mereka yang menonton.

“Watak Melissa dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu antara karakter yang membuka mata ramai. Boleh dikatakan saya banyak bermain dengan emosi untuk menghidupkan watak ini. Namun, pada masa sama saya puas dapat buat orang benci,” katanya.

Tidak hanya mahu dikenali dengan karakter sama, Rita mengakui mengimpikan untuk ‘lari’ daripada watak antagonis.

Rita yang merupakan graduan dalam jurusan seni persembahan berharap dapat menjadi lebih versatil pada masa akan datang.

“Kalau ada kesempatan, saya mahu meneroka watak lain supaya tidak terus statik. Syukur kerana kebelakangan ini saya banyak pula dapat watak protagonis,” ujarnya. – Agensi

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -