Rita nak bersara, hantar anak sekolah tahfiz

Aktres Rita Rudaini Mokhtar berhasrat meletakkan titik noktah dalam dunia lakonan, sebelum usia mencecah 50 tahun.

Bukan takut tidak laku atau populariti menjunam pada usia mencecah golongan emas, sebaliknya pelakon yang mencipta populariti menerusi drama Cinta Gila dan Rahsia Hati itu mahu menjaga hati dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10, yang bakal dihantar mengikuti pengajian tahfiz.

Rita, 45, memulakan kerjaya lakonan lebih dua dekad lalu berkata, dia tidak mahu selamanya bergelar pelakon. Selain itu, keputusan itu juga demi anak-anaknya.

“Saya hanya mempunyai tempoh antara tiga hingga empat tahun sebelum bersara. Pada usia 50 tahun, saya mahu berhenti bergelar pelakon.

“Saya mahu menghabiskan masa di rumah dengan belajar ilmu agama. Sebenarnya, saya merancang menghantar Rayyan dan Arjuna mengikuti pengajian di sekolah tahfiz.

Rita Rudaini Mokhtar berhasrat meletakkan titik noktah dalam dunia lakonan. – Agensi

“Saya tak mahu anak-anak melihat saya gigih berlakon ketika itu. Saya kena jaga hati anak-anak,” katanya.

Wanita kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, dia ingin cuba mendalami dunia perniagaan seandainya ada rezeki.

“Saya ingin menikmati hidup dengan melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

“Sejujurnya, saya seronok duduk di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Saya dapat meluangkan banyak masa dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama,” kata Rita ketika diundang sebagai tetamu pada program bual bicara, My SuperHeroes: Bangkit Semula yang disiarkan menerusi Facebook Live.

Program berkenaan adalah inisiatif pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam bagi membantu ibu bapa tunggal yang memerlukan.

Rita berkata, dia tidak mendambakan kehidupan mewah, sebaliknya bersyukur dapat mengusahakan perniagaan minyak wangi secara kecil-kecilan.

Baginya, apa yang penting dapat menyediakan pelajaran, makan pakai dan tempat berlindung untuk anak-anak.

Ketika diajukan pertanyaan tidakkah berhasrat kembali berumah tangga, Rita yang bergelar ibu tunggal sejak lapan tahun lalu berkata, setakat ini, dia langsung tidak mempunyai keinginan ke arah itu. – Agensi