Riyadh benarkan konsulat digeledah

ANKARA, 9 Okt – Arab Saudi telah bersetuju untuk membenarkan pihak berkuasa Turki untuk membuat pencarian di konsulat negara itu di Istanbul selepas seorang wartawan bebas dan pengkritik Riyadh, Jamal Khashoggi hilang minggu lepas, menurut Kementerian Luar Turki hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan gesaan daripada Presiden Turki, yang menuntut para pegawai Saudi membuktikan dakwaan mereka bahawa Khashoggi telah meninggalkan konsulat Saudi di Istanbul, ketika AS menggesa bagi siasatan menyeluruh ke atas kehilangannya itu.

Ulasan Recep Tayyip semalam dibuat selepas laporan media mengatakan kerajaan telah meminta kebenaran dari pihak berkuasa Saudi untuk mencari premis konsulat di Istanbul.

Khashoggi, seorang penyumbang bagi Washington Post, hilang Selasa lalu selepas memasuki konsulat itu untuk menerima dokumen rasmi sebelum perkahwinannya dengan seorang wanita Turki.

“Para pegawai konsulat tidak dapat menyelamatkan diri mereka dengan mengatakan dia telah meninggalkan bangunan itu. Adakah kamu mempunyai kamera?” Erdogan memberitahu sidang media di Budapest.

“Jika dia telah pergi, kamu mesti membuktikannya dengan gambar. Mereka yang meminta pihak berkuasa Turki tentang di mana dia berada seharusnya bertanya apa yang telah berlaku.”

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dalam satu kenyataan pada lewat semalam menggesa ‘kerajaan Arab Saudi supaya membantu siasatan menyeluruh ke atas kehilangan Khashoggi dan hendaklah telus tentang hasil siasatan itu.”

Polis Turki berkata pada hujung minggu bahawa kira-kira 15 orang warga Saudi, termasuklah pegawai-pegawai telah tiba di Istanbul dengan menaiki dua penerbangan Selasa lalu dan telah berada di konsulat itu pada waktu sama Khashoggi berada di situ.

Satu sumber kerajaan Turki memberitahu AFP pada hujung minggu bahawa polis percaya wartawan itu ‘telah dibunuh oleh sebuah pasukan yang khas dihantar ke Istanbul dan yang telah meninggalkan tempat itu pada hari yang sama.” Riyadh sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu dan berkata Khashoggi telah meninggalkan konsulat itu.

Semalam Turki meminta kebenaran untuk menjalankan pencarian di premis konsulat, lapor penyiar NTV, Turki. – AFP