Riyadh: Serangan sasarkan bekalan minyak dunia

RIYADH, 15 Mei – Arab Saudi berkata hari ini bahawa serangan ke atas dua daripada kapal tangki minyaknya dan satu saluran paip utama bukan sahaja menyasarkan keselamatannya sendiri malah bekalan dunia.

Serangan dron yang didakwa dilakukan oleh pemberontak Yaman menutup salah satu saluran paip minyak utama negara semalam, sekali gus menambah lagi ketegangan di Teluk selepas empat buah kapal disabotaj, dua di antaranya kapal tangki Saudi, di luar Teluk pada Ahad.

“Kabinet mengesahkan bahawa perbuatan keganasan dan sabotaj bukan sahaja menyasarkan kerajaan tetapi juga keselamatan bekalan minyak dunia dan ekonomi global,” katanya selepas satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Raja Salman di bandar Laut Merah Jeddah pada petang semalam.

Serangan dron semalam mengenai dua stesen mengepam di saluran paip timur-barat negara, yang boleh membawa lima juta tong minyak mentah sehari dan membekalkan jalan alternatif strategik untuk eksport Saudi sekiranya jalan perkapalan dari Teluk menerusi Selat Hormuz ditutup.

Pemberontak Yaman Huthi mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu dan berkata mereka merupakan satu respon terhadap “jenayah” yang dilakukan oleh Arab Saudi dan sekutunya ketika perang selama empat tahun yang menyokong kerajaan itu. Kapal tangki Saudi Al-Marzoqah dan Amjad mengalami “kerosakan besar” dalam satu serangan sabotaj yang tidak dapat dijelaskan tetapi tidak adanya laporan kematian atau tumpahan minyak.

Arab Saudi dan UAE, kedua-duanya sekutu rapat Amerika Syarikat, masih belum memberikan butir-butir mengenai ciri-ciri serangan, yang berlaku di tengah ketegangan yang meningkat di antara Washington dan musuh ketat Riyadh, Tehran.

Kabinet Saudi menyeru komuniti supaya “berdepan dengan entiti pengganas yang melancarkan perbuatan sabotaj sedemikian, termasuk militia Huthi di Yaman.” Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar di dunia, mengepam kira-kira 10 juta tong minyak sehari di mana kira-kira tujuh juta bpd dieksport ke luar negara. – AFP