Riyadh tidak mahu berperang

RIYADH, 19 Mei – Arab Saudi telah meminta mesyuarat tergempar Majlis Kerjasama Teluk dan Liga Arab diadakan untuk membincangkan ketegangan yang semakin meruncing di rantau itu, menurut agensi berita negara semalam.

Agensi Akhbar Saudi (SPA) berkata Raja Salman telah menjemput pemimpin-pemimpin Teluk dan kerajaan Arab ke dua sidang kemuncak tergempar di Mekah pada 30 Mei untuk membincangkan ‘serangan terbaharu dan kesannya’ di rantau tersebut.

Ketegangan telah meningkat di Teluk, dengan Amerika Syarikat menghantar kapal induk pesawat udara dan pesawat pengebom ke sana disebabkan ancaman dari Iran.

Menteri hal ehwal luar negeri Saudi, Adel al-Jubeir berkata negaranya tidak mahu berperang dengan Iran, tetapi bersedia untuk mempertahankan kepentingannya.

Riyadh “tidak mahu peperangan, tidak mencarinya dan akan melakukan segala-galanya untuk mengelaknya.”

Gambar bertarikh 17 Mei menunjukkan kapal USS Abraham Lincoln belayar di Laut Arab berhampiran kapal penggempur USS Kearsarge. Para diplomat AS memberi amaran kelmarin mengenai ketegangan meningkat di antara Republik Islam dan AS, walaupun Washington dan Tehran berkata mereka tidak mahu peperangan. – AP

Emiriah Arab Bersatu ‘mengalu-alu’ jemputan dari Arab Saudi.

Empat buah kapal, termasuk dua kapal tangki minyak Saudi, dimusnahkan dalam serangan sabotaj pada Ahad lalu di luar Fujairah, UAE, yang terletak di pintu masuk ke Teluk.

Kejadian itu disusuli oleh serangan dron pada Selasa oleh pemberontak Yaman Huthi ke atas satu saluran paip minyak utama di Saudi, yang menyediakan jalan eksport alternatif sekiranya Selat Hormuz ditutup.

Iran berkali-kali mengugut akan menghalang perkapalan di Hormuz jika berlakunya satu konfrontasi tentera dengan Amerika Syarikat, yang telah mengenakan sekatan ke atas Tehran dalam beberapa bulan ini.

Jubeir berkata UAE sedang mengetuai siasatan ke dalam kapal tangki minyak yang musnah, namun menambah “kami mempunyai beberapa petunjuk dan kami akan membuat pengumuman sebaik sahaja siasatan selesai.” – AFP