COLOMBO, 3 JULAI – Rizab bahan api Sri Lanka berbaki kurang daripada sehari, kata menteri tenaga hari ini, sambil menyatakan pengangkutan awam terpaksa dihentikan susulan krisis ekonomi negara itu semakin meruncing.
Kebanyakan stesen pam sudah beberapa hari kehabisan petrol dan diesel dengan ramai berbaris hingga beberapa kilometer panjang untuk mendapatkan bahan api itu.
Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera, berkata rizab petrol di negara itu berada di bawah nilai penggunaan sehari iaitu kira-kira 4,000 tan, manakala penghantaran petrol seterusnya dijangka antara 22 dan 23 Julai.
“Kami sudah menghubungi pembekal lain, namun tidak dapat mengesahkan bekalan baharu tiba sebelum 22 Julai,” kata Wijesekera kepada wartawan di Colombo.
Minggu lalu, Sri Lanka yang berdepan kesukaran kewangan mengumumkan penutupan selama dua minggu untuk semua penjualan bahan api kecuali perkhidmatan penting bagi menjimatkan petrol dan diesel untuk kegunaan kecemasan.
Kebanyakan kedai ditutup pada Ahad, dengan keadaan dijangka bertambah buruk apabila bank serta pejabat kembali dibuka esok.
Orang ramai yang terdesak dilihat turun daripada kenderaan dengan harapan mereka dapat menumpang kenderaan lain.
Bas milik persendirian yang merangkumi dua pertiga daripada pengangkutan negara, berkata mereka mengendalikan perkhidmatan dengan sangat terbatas hari ini berikutan terjejas teruk akibat kekurangan bahan api.
“Kami hanya mengendalikan kira-kira 1,000 bas di seluruh negara daripada 20,000 yang dimiliki oleh ahli kami.
“Keadaan sudah tentu akan menjadi lebih buruk esok kerana kita tidak mempunyai cara untuk mendapatkan diesel,” kata Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Persendirian, Gemunu Wijeratne. – AFP