Rizman Ruzaini bekal PPE kepada PPUM

Pereka fesyen Rizman Ruzaini komited membekalkan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Pusat Perubatan Unversiti Malaya (PPUM) sehingga wabak COVID-19 lumpuh.

Rizman Nordin memberitahu, syarikatnya bekerjasama dengan PPUM menyediakan pakaian, tudung dan sarung kaki kepada jururawat dan petugas barisan hadapan.

“Jenama kami dikenali kerana sokongan banyak pihak. Tibalah masanya untuk kami memberi semula kepada pihak yang memerlukan,” katanya kepada BH Online.

Rizman yang sering menjadi pilihan Nur Fazura dalam menata gaya memberitahu, projek itu menggunakan tenaga kerja yang ramai.

Namun, dia bersyukur banyak pihak sudi tampil membantu tanpa mengira wang ringgit.

Rizman Ruzaini komited membekalkan PPE kepada PPUM sehingga wabak COVID-19 lumpuh. – Agensi

“Dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami perlu membenarkan kakitangan berkurung di rumah. Ini mengakibatkan kami kekurangan tenaga kerja.

“Bagaimanapun, selepas mengumumkan kami mahu mencari mereka yang boleh membantu di Instagram, sambutan diterima sangat menggalakkan.

“Lebih menyentuh hati, mereka sanggup bekerja secara percuma,” katanya yang turut dibantu rakan kongsi, Wan Ruzaini Wan Jamil.

Dalam perkembangan berkaitan, label terbabit mengadakan jualan amal kemeja-T leher bulat bagi membantu golongan kurang berkemampuan, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, semua baju habis terjual. Kami berjaya membantu 109 keluarga kurang berkemampuan.

“Insya-Allah, projek ini akan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya. – Agensi