Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Buat kali kedua, Rizqun Coffee House, The Mall, Gadong akan membawakan masakan dari Poland sebagai salah satu promosi makanan terbaharu mereka yang akan dilancarkan pada 23 November ini.
Sehubungan itu, dua orang chef selebriti dari Poland telah dijemput untuk mempamerkan kemahiran memasak mereka secara profesional di restoran berkenaan.
Promosi masakan Poland tersebut merupakan kerjasama antara Kolej Perdagangan Laksamana dan Kedutaan Besar Republik Poland yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia.
Dua orang cef berkenaan iaitu Marcin Budynek dan Marious Olechno, mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas dalam bidang mereka, di mana mereka akan menyerlahkan beberapa jenis masakan Poland semasa sesi makan malam bersama para jemputan khas dan pelanggan restoran berkenaan.
Jurucakap bagi kedua-dua cef berkenaan, Jo Anna E Jurcyga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rizqun kerana telah memberikan peluang kedua untuk memperkenalkan lagi
masakan Poland di Negara Brunei Darussalam.
Kali ini, cef selebriti dari Poland akan memperkenalkan masakan unik khas Polandia Mixed Mesclun, Romaine Lettuce, Iceberg Lettuce, Roast Duck with Apples and Herbs, Chicken in Casserole dan banyak lagi.
Beliau menambah, makanan di Poland adalah mengikut perubahan cuaca dan ia menunjukkan keunikan masakan negara itu sekali gus menunjukkan kelainannya.
Beliau turut berharap masakan Poland akan dapat menambat hati masyarakat di negara ini memandangkan masakan tersebut memiliki beberapa persamaan seperti masakan di negara-negara ASEAN.
Pada majlis makan malam itu, para pengunjung akan berpeluang menyaksikan sendiri demonstrasi masakan secara langsung daripada kedua-dua cef berkenaan dan merasakan sendiri makanan Poland yang asli.
